INVASI oleh Raja Faisal
Invasi adalah buku pertama terbitan Buku Fixi yang saya baca. Mengapa Invasi? Terus terang saya katakan yang imej buku2 terbitan Buku Fixi pada saya waktu itu adalah agak 'panas', makanya saya memilih yang saya rasa paling tidak panas, takut terkejut budaya pula nanti. Lagipun masakan ada adegan panas di dalam kisah penaklukan makhluk asing? Waktu itu saya tak tahu nak pilih Invasi atau Zombijaya. Akhirnya saya pilih Invasi sebab saya peminat sci-fi.
Kita ke ceritanya pula. Invasi mengisahkan tentang Ahmad Bayani dan rakannya Anwar yang terperangkap di dalam peristiwa penaklukan Kuala Lumpur oleh makhluk asing dari angkasa. Sewaktu melarikan diri, mereka bertemu dengan Ika dan kumpulan mereka kemudian bergabung dengan kumpulan Ajak, Achet dan Jo demi survival mereka.
Separuh yang pertama lebih banyak mengisahkan apa yang berlaku dan bagaimana mereka melarikan diri mencari tempat selamat daripada buruan makhluk-makhluk penceroboh. Banyak juga adegan gore penuh darah berkecai dan bersepai sewaktu pertempuran mereka dengan makhluk asing itu sehingga membuatkan saya teringatkan cerita Battle Los Angeles, cuma bezanya di dalam Invasi yang bertempur itu hanyalah orang biasa dan bukannya askar.
Apabila sampai ke lebih kurang bermulanya separuh yang kedua, kisahnya berubah rentak kepada bagaimana mereka akan menewaskan makhluk2 asing tersebut pula seterusnya menamatkan penjajahan alien di muka bumi ini. Bunyinya memang macam bagus tapi cara penceritaannya tak membuatkan ianya nampak macam cerita Save-the-World poyo stereotaip yang selalu kita lihat dalam filem-filem Amerika. Dan bermula dari sini saya mula tidak dapat melepaskan buku ini sehingga ke penamat.
Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan gaya persembahan Raja Faisal dengan gaya dialog super selamba yang pada mulanya sedikit kekok untuk saya cerna namun lama kelamaan lancar saja penghadaman saya. Mungkin kerana gaya bahasa naratif yang diolah dengan baik berjaya membantu mengimbangkannya kembali.
Namun begitu seperti yang dijangka, masih terdapat unsur-unsur seksual di dalam Invasi. Letaknya pula di awal-awal cerita yang saya pasti membuat ramai pembaca yang belum apa-apa dah terkejut. Hasilnya, mungkin ada yang jelek dan terus berhenti membaca, tapi mungkin ada pula yang menjadi lebih bersemangat untuk terus membaca.
Pada saya, jikalau tujuannya iaitu untuk menunjukkan sifat Bayani yang playboy, maka memang sesuailah. Tapi itu pendapat saya sebagai seorang pembaca yang dah dewasa. Tidak dapat tidak hati saya tetap ingin menyatakan yang unsur-unsur sebegini kurang sesuai bagi bacaan golongan remaja atau belasan tahun.
Penamat novel ini pada saya terlalu pendek dan seperti tergesa-gesa. Adrenalin di dalam tubuh saya masih mengalir deras ketika penulis menutup tirai persembahannya menyebabkan saya tak boleh tidur lepas habis baca. Wrap-up novel saya kira masih boleh diperbaiki lagi. Mungkin dengan menyatakan secara ringkas apa yang terjadi pada watak-watak lain juga seperti Ajak, Achet dan Jo, dan menceritakan sedikit keadaan dunia selepas itu.
Akhir kata, saya berikan Invasi 3.5 daripada 5 bintang. Tahniah kepada Raja Faisal, semoga beliau giat berkarya lagi selepas ini. Saya yang pasti akan look forward untuk kisah-kisah sci-fi ringan sebegini di masa-masa yang akan datang.
Nash Azly
3 Ogos 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan