Memaparkan catatan dengan label novel. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label novel. Papar semua catatan

Jumaat, 3 Ogos 2012

Reviu Novel : Invasi


 INVASI oleh Raja Faisal


     Invasi adalah buku pertama terbitan Buku Fixi yang saya baca. Mengapa Invasi? Terus terang saya katakan yang imej buku2 terbitan Buku Fixi pada saya waktu itu adalah agak 'panas', makanya saya memilih yang saya rasa paling tidak panas, takut terkejut budaya pula nanti. Lagipun masakan ada adegan panas di dalam kisah penaklukan makhluk asing? Waktu itu saya tak tahu nak pilih Invasi atau Zombijaya. Akhirnya saya pilih Invasi sebab saya peminat sci-fi.

Kita ke ceritanya pula. Invasi mengisahkan tentang Ahmad Bayani dan rakannya Anwar yang terperangkap di dalam peristiwa penaklukan Kuala Lumpur oleh makhluk asing dari angkasa. Sewaktu melarikan diri, mereka bertemu dengan Ika dan kumpulan mereka kemudian bergabung dengan kumpulan Ajak, Achet dan Jo demi survival mereka.

Separuh yang pertama lebih banyak mengisahkan apa yang berlaku dan bagaimana mereka melarikan diri mencari tempat selamat daripada buruan makhluk-makhluk penceroboh. Banyak juga adegan gore penuh darah berkecai dan bersepai sewaktu pertempuran mereka dengan makhluk asing itu sehingga membuatkan saya teringatkan cerita Battle Los Angeles, cuma bezanya di dalam Invasi yang bertempur itu hanyalah orang biasa dan bukannya askar.

Apabila sampai ke lebih kurang bermulanya separuh yang kedua, kisahnya berubah rentak kepada bagaimana mereka akan menewaskan makhluk2 asing tersebut pula seterusnya menamatkan penjajahan alien di muka bumi ini. Bunyinya memang macam bagus tapi cara penceritaannya tak membuatkan ianya nampak macam cerita Save-the-World poyo stereotaip yang selalu kita lihat dalam filem-filem Amerika. Dan bermula dari sini saya mula tidak dapat melepaskan buku ini sehingga ke penamat.

Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan gaya persembahan Raja Faisal dengan gaya dialog super  selamba yang pada mulanya sedikit kekok untuk saya cerna namun lama kelamaan lancar saja penghadaman saya. Mungkin kerana gaya bahasa naratif yang diolah dengan baik berjaya membantu mengimbangkannya kembali.

Namun begitu seperti yang dijangka, masih terdapat unsur-unsur seksual di dalam Invasi. Letaknya pula di awal-awal cerita yang saya pasti membuat ramai pembaca yang belum apa-apa dah terkejut. Hasilnya, mungkin ada yang jelek dan terus berhenti membaca, tapi mungkin ada pula yang menjadi lebih bersemangat untuk terus membaca.

Pada saya, jikalau tujuannya iaitu untuk menunjukkan sifat Bayani yang playboy, maka memang sesuailah. Tapi itu pendapat saya sebagai seorang pembaca yang dah dewasa. Tidak dapat tidak hati saya tetap ingin menyatakan yang unsur-unsur sebegini kurang sesuai bagi bacaan golongan remaja atau belasan tahun.

Penamat novel ini pada saya terlalu pendek dan seperti tergesa-gesa. Adrenalin di dalam tubuh saya masih mengalir deras ketika penulis menutup tirai persembahannya menyebabkan saya tak boleh tidur lepas habis baca. Wrap-up novel saya kira masih boleh diperbaiki lagi. Mungkin dengan menyatakan secara ringkas apa yang terjadi pada watak-watak lain juga seperti Ajak, Achet dan Jo, dan menceritakan sedikit keadaan dunia selepas itu.

Akhir kata, saya berikan Invasi 3.5 daripada 5 bintang. Tahniah kepada Raja Faisal, semoga beliau giat berkarya lagi selepas ini. Saya yang pasti akan look forward untuk kisah-kisah sci-fi ringan sebegini di masa-masa yang akan datang.


Nash Azly
3 Ogos 2012

Jumaat, 29 Jun 2012

Reviu Novel : The Untold Story


 As-salam dan selamat sejahtera kepada semua.

Pada hari ini saya ingin mengulas tentang sebuah novel bertajuk The Untold Story. Walaupun tajuknya di dalam bahasa inggeris, namun sebenarnya novel ini merupakan novel bahasa melayu. Ianya adalah karya Farah Husain, seorang penulis yang juga merupakan rakan saya.



Tajuk : The Untold Story
Penulis : Farah Husain
Terbitan : One Nusantara
Tahun : 2011


Novel The Untold Story (TUS) ini merupakan novel dengan genre fantasi urban, satu genre yang jarang sangat diketengahkan oleh penulis novel bahasa melayu di Malaysia ini. Syabas saya ucapkan kepada Farah Husain kerana berani menulis lari dari norma karya yang berada di pasaran. Tahniah juga kepada One Nusantara kerana berani menerbitkan karya sebegini.

Ok cukup dengan puji-pujian. Mari lihat apakah kisah yang dipersembahkan di dalam TUS ini. Kisah di dalam novel ini bermula apabila Teja Aira secara tak sengaja telah menjadi saksi kepada satu kejadian yang melibatkan entiti-entiti paranormal daripada kaum Night Crawler dan Shifter. Ekoran daripada peristiwa tersebut, Aira telah ditangkap oleh Diaz dari kaum Shifter, namun begitu kemudiannya diselamatkan oleh Aidan dan pasukan Nightcrawler 'Dream Team'nya.

Bermula dari sinilah, Aira terus terjebak di dalam satu dunia asing yang selama ini cuba disembunyikan oleh mereka-mereka yang berkaitan daripada pengetahuan manusia biasa. Plot menjadi semakin serius apabila kumpulan Night Crawler mendapat tahu akan kewujudan satu komplot jahat daripada pihak Shifter yang bakal menghancurkan hijab di antara dunia mereka dan dunia manusia. Di dalam pada itulah Aira secara sedar dan tidak telah jatuh hati pada Aidan, namun begitu dia harus memilih di antara Aidan dan Diaz yang telah lebih dahulu mencuri hatinya.

Pada bab awal pembacaan, memang terbayang di dalam kepala saya bahawa ini hanyalah salah satu picisan daripada fenomena vampire/werewolf flick yang pada masa itu sedang membanjiri pasaran (read : Twilight). Namun begitu TUS adalah berbeza. Walaupun di dalam TUS juga wujud kaum-kaum kegelapan seperti Night Crawler dan Shifter dan juga Custos, namun garapan penulis tentang kaum-kaum ini tidak mengingatkan saya kepada kisah-kisah werewolf/vampire lain yang pernah saya baca atau tonton sebelum ini. Oleh itu saya berpendapat yang Farah Husain telah berjaya memisahkan diri daripada elemen-elemen werewolf/vampire dan meletakkan The Untold Story di dalam kelasnya yang tersendiri.

Klimaks kepada kisah ini sangat memuaskan dengan scene-scene pertarungan yang membuatkan saya bulu roma saya meremang. Namun begitu penyudahan yang diberi sedikit mengecewakan saya. Kenapa? Kerana penyudahan sebegini secara tak langsung bermaksud yang TUS akan ada sambungannya kelak! Haih kena tunggu la pulak...

Shifter? Imej hiasan je..

Secara keseluruhannya saya cukup berpuas hati dengan TUS. Penceritaan yang padu, dan suntikan idea-idea segar di dalam konsep sebegini menjadikan TUS sebagai karya pertama yang cukup mantap bagi penulis muda Farah Husain! Sekalung tahniah daripada saya!
 
*The Untold Story boleh didapati secara online di http://bookstation.com.my/


Nash Azly 
28 Jun 2012
10pm

Ahad, 10 Jun 2012

Donchan di MPH!

Assalamualaikum wbt,

Sudah sekian lama saya tidak mengudpate blog ini mahupun aktiviti penulisan saya. Maaflah ya, selepas Pesta Buku Antarabangsa KL tempoh hari, saya berehat seketika dan selepas itu saya ke Jepun untuk satu program (saya akan tulis tentang ini di dalam entri seterusnya).

Sekembalinya saya ke tanah air, saya mabuk Jepun buat beberapa minggu, sehingga menyebabkan saya tak berapa menulis. Saya panggil tempoh ini sebagai tempoh extended jetlag ataupun jetlag berlanjutan. Alhamdullillah kini saya sudah hampir pulih dan sudah mula kembali fokus kepada penulisan :).

Baiklah pada minggu ini saya cuma ingin beritahu yang novel saya Donchan telah pun memasuki MPH. Saya sendiri belum berkesempatan untuk pergi ke MPH berdekatan, namun ini telah diberitahu oleh mentor saya Pn. Maria Kajiwa. Sempat juga beliau beli senaskhah. Terima kasih kak!

Gembiranya saya bila mengetahui yang akhirnya Donchan telah masuk ke kedai. Bayangkanlah, buku tulisan anda telah mula dijual di kedai-kedai! Boleh dicapai, diambil, dibelek dan dibeli serta yang paling penting, dibaca, oleh orang2 yang anda sendiri tidak kenal! Apakah perasaan anda? Apakah perasaan saya?


Ihsan daripada FB Pn Maria Kajiwa

Perasaan saya bercampur baur sebenarnya. Gembira pun ada, berdebar pun ada, tak berperasaan sangat pun ada. Gembira kerana saya telah berjaya membuat langkahan pertama di dalam mencapai matlamat hidup saya. Berdebar kerana tidak tahu respons daripada para pembaca novel saya itu. Buat masa ini hanya Pn. Maria saja yang telah memberi respons yang memberangsangkan terhadap Donchan. Saya berterima kasih banyak-banyak kepada beliau, ianya sedikit sebanyak telah melegakan debar di hati saya (masih berdebar juga sebenarnya).

Tak berperasaan pula adalah kerana sebagai seorang yang tak boleh multitask dan fikir banyak benda di dalam satu masa, saya tak mahu membuang masa merisaukan diri dengan memikirkan respon pembaca, samada penulisan saya baik ke tak, apa kesalahan2 atau komen2 yang bakal datang dan lain2 perkara lagi.  Kalau saya mula fikirkan perkara2 tersebut, memang susah la saya nak menulis. Oleh itu saya perlu juga mengambil sikap dingin hanya untuk memberi ruang kepada diri saya untuk terus berkarya.

 InsyaAllah, saya tetap akan mengambilkira semua faktor2 yang tersebut, cuma bukanlah setiap masa dan ketika. Diharapkan agar semua faham. Kalau nampak macam saya ni macam sombong je tu, mungkin saya cuma tak perasan sebenarnya. Maaf saya ucapkan awal2 ni ya.

Baiklah itu saja yang ingin saya update (bebel)kan untuk hari ini. Semoga kita bertemu lagi. Saya akan menulis tentang lawatan program sukarelawan saya ke Jepun pada 14 - 21 May yang lepas.

Sebelum terlupa, jangan lupa dapatkan novel kanak-kanak saya Donchan di MPH dengan harga RM12 sahaja. InsyaAllah saya yakin yang anda akan berpuas hati dengan cerita yang saya persembahkan. Okey jumpa lagi!

Wassalam.

Nash Azly

Isnin, 30 April 2012

PABKL 2012

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,



Ok untuk latest update tentang PABKL saya dah update kat blog belajar bahasa sebab sana lagi ramai follower. Hehe bukan saya lebih pentingkan sana, tapi sebab ini tentang penjualan buku di pesta buku, so kenalah inform pada seramai yang mungkin, bukan? Nanti lepas PABKL saya updatelah cerita-cerita di sini pulak okey!

Baiklah ini link kepada update tersebut, KLIK SINI terima kasih.

Ok, kepada yang ingin bertemu dengan saya, jumpa di PABKL Sabtu ni 4 - 5 petang, booth Lejen/Fixi okey!
Thanks semua!

Nash Azly

Selasa, 13 Mac 2012

Lagu Cinta Osaka : Bab 2 sudah keluar!



Assalamualaikum wbt,

Hari ini Bab 2 novel Lagu Cinta Osaka sudah pun diterbitkan di www.penulisan2u.my. Linknya di bawah ini :

http://www.penulisan2u.my/2012/03/novel-lagu-cinta-osaka-2/

Bab kedua ini mengisahkan tentang pergolakan hati Hiro yang semakin menyedari yang dia sukakan Azusa. 
Jemput baca dan tinggalkan komen ya.

Terima kasih.

Isnin, 27 Februari 2012

Lagu Cinta Osaka : Bab 1

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Di sini saya ingin memperkenalkan sebuah e-novel saya yang bertajuk Lagu Cinta Osaka. Bab 1 sudah pun tersiar di laman penulisan2u.my. Ianya adalah terbitan semula kisah Odisi Cinta yang telah saya perbaiki dan kompilasikan.

Kepada meraka yang ingin mengikuti kisah Hiro dan Azusa ini, boleh lah berkunjung ke laman Penulisan2u.my di link di bawah ini.

http://www.penulisan2u.my/2012/02/novel-lagu-cinta-osaka-1/


Terima kasih dan semoga terhibur :) 

Nash Azly

Khamis, 23 Februari 2012

Alhamdullillah!



Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera saya ucapkan kepada semua pembaca (belum ada sesiapa lagi hehe). Syukur ke hadrat ilahi kerana dengan izin-Nya maka blog ini telah dapat saya rasmikan.

Adapun tujuan blog ini dibuka adalah untuk menyampaikan info tentang aktiviti-aktiviti penulisan saya. Ianya lebih kepada ruang menulis tentang diri dan aktiviti saya selain daripada laman facebook saya. Maklumlah, nak tulis panjang-panjang kat fb macam pelik pula.

Ok, buat permulaan, pada hari ini saya telah mendapat satu lagi pengesahan daripada pihak penerbitan Fajar Pakeer tentang penerbitan novel saya dengan mereka. Novel ini novel sulung saya, maka memang tahap keterujaan boleh tahan tinggi juga sekarang ni :p

Baiklah jika ada info lagi akan saya kongsikan di sini kelak. Jumpa lagi!

Wassalam.

Nash Azly