Khamis, 28 Jun 2012

Sehari di Seminar Antarabangsa 30 Tahun Dasar Pandang ke Timur


As-salam dan selamat sejahtera,

Pada hujung minggu yang lepas, saya sebagai seorang bekas pelajar di bawah Dasar Pandang ke Timur telah menghadiri Seminar Antarabangsa sempena 30 tahun Look East Policy (LEP). Seorang rakan saya yang juga seorang penulis telah mencadangkan agar kami menggembleng tenaga untuk membuka booth pada hari tersebut. Nak kata booth pun bukanlah booth sangat, lebih kepada meja saja. Saya setuju saja.

Pada hari seminar tersebut maka saya dan dua lagi rakan penulis iaitu Masdalifadzlie Saaid dan juga Ilham Hamdani telah menyusun buku-buku kami di atas sebuah meja putih yang disediakan, tanpa sebarang hiasan-hiasan lain! Memang dasar penulis, dan bukan peniaga.. maka kami memang tak reti nak hias-hias atau bubuh apa-apa pun bentuk marketing tools.

Saya meletakkan ketiga-tiga judul karya saya yang ada iaitu Antologi Cerpen Tentang Cinta, Donchan dan juga KolaGen.

Kebetulan pula lagi dua rakan penulis itu pun punyai tiga judul juga masing-masing. Masdalifadzlie meletakkan susunan novel fantasinya Pendeta Gua Khayalan, Duyung Pulau Kenchana dan novel humor 10 Juta Pulu$. Ilham Hamdani pula membariskan kumpulan cerpen Mekar Sakura di Mimbar Cinta, dan dua novel genre cinta islami iaitu Hidayah Cinta dan Bara Cinta Canberra.


 Dari kiri Ezam, Nash Azly, Najib, Masdalifadzlie dan Dr Hasnul (foto dari fb Ezam.)


Sambutan yang diterima sangat menggalakkan daripada pengunjung seminar. Rata-rata pengunjung seminar pada hari tersebut adalah bekas ahli pelajar di bawah LEP, ahli-ahli akademik daripada Malaysia, Jepun dan Korea, dan juga daripada sektor korporat dan badan bukan kerajaan daripada Malaysia, Jepun dan Korea.

Agenda tumpuan ramai pastilah ucapan daripada pengasas dan penaung Dasar Pandang ke Timur itu sendiri iaitu Tun Mahathir Mohamad. Ucap beliau, LEP masih relevan dan masih banyak yang perlu dipelajari daripada Timur dari sudut-sudut selain kemajuan ekonomi dan perindustrian.

Maka di situlah di mana kami bertiga ini adalah relevan, di mana walaupun di bawah naungan LEP, namun pada waktu yang sama kami menceburi bidang penulisan, sesuatu yang berbeza sama sekali dengan bidang perindustrian dan teknikal yang selama ini sinonim dengan LEP.

Ada pengunjung yang bertanya, "Kenapa meja ini letak benda yang tak ada kena mengena dengan LEP?"

Saya cuma menjawab, "Ini adalah produk yang dihasilkan oleh produk LEP itu sendiri." Pengunjung berbangsa Jepun itu mengangguk-angguk sahaja dan berlalu pergi.

Saya faham kehadiran kami di seminar itu bagaikan melawan arus LEP, namun pada kami, inilah LEP untuk masa hadapan. Kita sudah lihat dan belajar, maka kita perlu aplikasikan apa yang kita telah pelajari dengan apa saja yang kita lakukan sekarang ini, dengan cara kita sendiri.

OKlah cukuplah kata-kata yang bersemangat tapi kurang difahami ramai itu.

Berbalik kepada penjualan buku kami, sambutan daripada rakan taulan memang membuat saya terharu. Naskhah Tentang Cinta 4 buah yang saya ada semuanya telah habis terjual. Donchan dan KolaGen juga masing-masing terjual lebih kurang 10 buah. Terima kasih semua.

 Budi baik rakan-rakan yang sudi beli walaupun saya tahu ada yang tak minat membaca pun, namun saya tetap hargai sokongan kalian. Harapan saya buku saya akan buat kalian menjadi berminat untuk membaca. Juga penghargaan kepada rakan-rakan yang setia memberi sokongan moral sepanjang seminar berlangsung. Hanya Tuhan dapat membalas budi kalian semua.

Sesi autograf (foto dari fb Ezam.)

InsyaAllah jika ada peluang lagi, saya ingin lagi meluangkan masa untuk membuka booth sebegini lagi. Di dalam kesibukan menulis, kadang-kadang untuk tukar angin, aktiviti sebegini memang menyegarkan saya dari segi semangat untuk berkarya (walaupun penat fizikal lepas sehari macam ni). Oleh itu, untuk rakan-rakan penulis di luar sana, jangan lupa ajak saya kalau nak buka booth ya :)

Oklah itu saja untuk hari ini. Jumpa lagi.

Wassalam

Nash Azly


 

2 ulasan: