Rabu, 10 April 2013

Dah sembuh?

Salam semua,

Alhamdullillah, nampaknya saya seperti dah boleh menulis semula. Macam mana tu? Entahlah, tiba-tiba saja boleh pulak tulis. Mungkin sebab hasil2 terapi yang telah saya lalui, dan juga hasil daripada consultation dengan guru penulisan saya. Yang penting saya dah mula menulis balik, dan insyaAllah akan cari momentum lagi selepas2 ni.

Namun begitu ini tidak bermakna masalah telah selesai! Sebagai penulis, saya sentiasa dirundung masalah. Daripada masalah tak boleh nak menulis, masalah kekangan masa, masalah identiti, masalah taktau nak tulis apa sampailah masalah kucing sibuk terberanak sampai mengganggu jadual menulis saya. Dan mungkin juga saya belum pulih sepenuhnya?

Tapi saya akan hadapi semua ini dan menganggapnya sebagai cabaran seorang penulis. Bosanlah kan kalau hidup ni tak ada cabaran. Macam ada satu malam tu, saya dah set nak siapkan satu cerpen yang tinggal lagi sikit nak siap. Alih-alih pulak on the way balik rumah kereta buat hal di tengah jalan. Nasib baik ada orang-orang yang baik hati sudi membantu. Sampai rumah dengan berpeluh-peluh dan mood menulis dah terbang. Tapi saya cuba lihat dari sudut yang terang (look on the bright side kalau omputeh kata) dan menganggapnya satu ujian daripada Tuhan. Masalah yang diberikan juga merupakan rahmat. Saya dapat kenal dengan orang yang tak pernah saya kenal, saya dapat tahu yang kereta saya tak boleh jalan dengan satu tayar terangkat, dan saya juga dapat idea untuk satu cerita (simpan dalam kotak je dulu).

Masalah writers block yang saya hadapi baru-baru ini juga memberikan saya persepsi baru terhadap dunia penulisan. Sepanjang saya tak menulis tu saya dapat selami diri saya sendiri, cuba cari apa sebenarnya yang saya nak dan macam-macam lagilah. Oleh itu sebenarnya masalah yang diberikan kepada kita secara tak langsung sebenarnya adalah satu cabaran. Cabaran untuk kita fikir penyelesaian yang paling sesuai, cabaran untuk kita putuskan samada untuk atasi atau untuk lari. Setelah kita atasinya, insyaAllah kita akan muncul kembali dengan lebih matang, lebih berpengalaman, dan mungkin lebih beberapa helai uban di kepala heheh.

Oleh itu, selepas ini jika saya menghadapi masalah lagi, saya akan tetap bitching dan whining itu ini, namun selepas itu, saya akan fokus untuk menyelesaikannya, dan tidak akan lari. Mungkin berundur seketika, tapi hanya untuk memikirkan strategi yang lebih sesuai. Macam mana sekalipun, cabaran adalah untuk dihadapi, dan masalah adalah untuk diselesaikan. Itulah kehidupan sebenarnya.

Okey itu saja saya nak bebel petang ni. Terima kasih kerana sudi luangkan masa membaca bebelan saya.

Nash Azly

Selasa, 5 Mac 2013

Kenapa aku menulis?


Salam semua,

Oleh kerana aku masih tak dapat menulis seperti dulu, maka aku akan paksa diri aku menulis di sini. Dan topik hari ini adalah, kenapa aku menulis?

Ya, kenapa menulis? Kenapa aku jadi penulis? Kenapa tak jadi pelumba kereta? Atau angkasawan? Atau bintang batu (rockstar)? Kenapa mesti jadi penulis?

Okey aku ada banyak sebab yang aku pernah fikirkan. Tapi hari ini aku nak cerita satu saja. Sebenarnya aku tak suka cerita pasal diri aku, tapi aku rasa sampai bila aku nak menyorok, so biar aku cerita. Satu je dulu.

Dari kecil aku memang suka membaca. Aku tak tahu sebab aku kecil lagi, tapi mak aku yang bagitau. Katanya aku umur 4 tahun dah boleh membaca dan ada je majalah ke komik ke yang aku pegang. Entahlah aku pun tak ingat sangat pasal tu, aku sedar-sedar je aku memang suka baca apa-apa je pun dari dulu lagi.

Habis tu apa kaitannya dengan jadi penulis? Begini kaitannya. Bila aku baca, aku berimaginasi. Aku bayangkan aku bersama-sama watak menempuh jalan cerita sampai ke tamat. Kalau komik lagilah senang kan nak berimaginasi. Jadi, bila aku banyak berimaginasi, aku mula teringin nak jadi seperti mereka. Yep, watak-watak komik dan cerita2 telah menjadi idola aku secara sedar tak sedar.

Aku nak jadi angkasawan, aku nak jadi pelumba kereta, aku nak jadi bintang batu, aku nak jadi superhero dan macam-macam lagilah. Semua benda aku nak jadi. Tapi tu dalam kepala sajalah. Realitinya aku badan kecik, tak kuat, lari tak laju, main bola tak reti dan pemalu tak bertempat (sampai sekarang, cuma tang badan tu je skarang dah besar giler).

Sebab aku suka membaca, so secara automatik kat sekolah aku cepat pickup. Dan cemerlang jugaklah aku ni. Bila dah cemerlang tu kenalah maju ke atas lagi kan. So entah macam mana aku pergi jadi jurutera pulak. Entah apa-apa tah. Takda dalam list angan-angan aku pun masa kecik dulu. Gila apa kecik2 fikir nak jadi jurutera. Tapi sekarang dah jadi kan, so bersyukur sajalah.

 OK sebelum semakin meleret dengan sejarah diri ini, biar aku habiskan cerita kat sini. Bila dah jadi jurutera, aku rasa bosan. Ini bukannya apa yang aku nak. Aku nak jadi benda-benda yang aku nak jadi masa kecik dulu. Aku nak jadi superhero, nak jadi romeo, nak jadi pembunuh upahan. Tapi dah besar mana lah sempat nak tukar profesion jadi angkasawan ke pelumba kereta ke. Pembunuh upahan? Laaagilah....harrommm. Takat jadi uncle-sawan atau pelumba haram boleh la kot.

So aku mula  fikir macam mana aku boleh jadi semua tu serentak. Dan aku rasa Tuhan jadikan aku jurutera pun bersebab. Dengan kepala otak jurutera akulah aku boleh fikir sampai dapat jawapan kepada persoalan aku tu. Jawapannya adalah ; cipta sajalah dunia di mana aku adalah apa yang aku ingin jadi. Dan dunia itu adalah dunia fiksyen. Maka di sinilah aku berada sekarang. Di sini, di dalam dunia fiksyenku, aku adalah apa saja yang aku inginkan. Kebebasan mutlak untuk menjadi apa saja. Baguskan?

So, adakah ini bermakna impian aku sudah tercapai? Hahahah gelak dulu. Ini baru jumpa jalan. Yang bestnya dan siksanya, jalan ini tak berpenghujung. Selagi aku tak dapat jadi semua benda yang aku nak jadi, aku takkan berhenti menulis. Kot. Ya. Pasti. Gambaru. 

Huh, tanak cerita pasal diri konon. Tengok panjang berjela jugak dia bebel. Oklah sampai sini saja. Dah dah pergi masuk balik dalam cengkerang.


Nash Azly



Isnin, 14 Januari 2013

Bebelan : Tak Menulis

Salam semua,

Okey dah beberapa hari saya tak menulis apa-apa. Saya ada 3 days weekend sampai hari ini tapi saya tak menulis walau sehabuk apa pun! Paling kuat pun tweet, tu pun Jumaat malam! Fuh! Apakah makna semua ini?

Saya perasan yang kadang2 memang saya akan hadapi situasi sebegini. Situasi di mana saya menghadapi konflik dalaman diri. Diri penulis, diri sebenar, diri di luar, dan entah berapa banyak lagi alter ego saya yang ada sedang bergaduh. Masing-masing ingin menguasai diri. Masing-masing ingin mengambil alih hidup saya.

Pelik bunyinya kan? Ya maaflah kalau anda tak faham, saya sendiri pun masih kurang faham situasi sebenarnya apa yang berlaku di dalam kepala saya.

Pada mulanya saya fikir saya tak boleh menulis kerana otak saya ingin berehat. Maka sebagai penulis, ada beberapa cara untuk mengatasi situasi ini, yang saya dapat daripada guru saya dan daripada merata-rata di internet. Di antaranya adalah dengan membaca, bercuti, bermain, atau terus juga menulis apa-apa pun.

So saya cubalah membaca.. tapi tak dapat fokus dan cepat bosan dan macam-macam lagi alasan yang diri saya berikan untuk berhenti membaca. Pelik juga sebab saya ni suka membaca, tapi sekarang ni membaca adalah seperti pilihan terakhir pada saya.

Ok fine, so saya kena bercuti? Hm yang ini saya tak buat lagi. Eh, tapi last time saya bercuti adalah pada bulan 11 tempoh hari. OKlah tu.. baru lagi tu. Takkan nak pergi selalu pulak. Karang tukar profesion jadi traveller je lagi bagus. Sebenarnya pada saya percutian itu adalah escapism, dan tak boleh buat selalu. Realiti sentiasa menunggu sebaik kita kembali dari bercuti, oleh itu lebih baik fokus untuk tangani realiti daripada asik lari dengan bercuti saja.

Next, bermain. Maksudnya? Buatlah apa-apa aktiviti seperti tengok wayang, pergi main futsal, jalan-jalan KL shopping ke apa ke. So saya buat tak yang ini? Hm, tak jugak. Saya bukanlah kaki wayang sangat (dulu ya, sekarang dah introvert sket so lebih suka tonton sorang-sorang dalam bilik), dah lama tak main futsal sebab badan dah tak larat, tapi sebagai ganti saya mula 'running' atau 'berlari dari kenyataan' bak kata seorang kawan saya. Dan selain tu saya mula aktif memancing. Ha yang ni memang agak kerap lah.

So adakah ianya membantu menjadikan saya boleh menulis selepas itu? Tak jugak... lepas balik memancing, penat dan pengsan. Fikiran memang dapat berehat sebab tak perlu fikir pasal menulis semua ni, tapi di penghujung hari, saya tetap masukkan aktiviti2 ini ke dalam kategori escapism jugak. Lari dari kenyataan, cuba melupakan perkara yang sepatutnya dan mengelak daripada berhadapan dengan realiti. Ecewah ayat.

Makanya pada malam ini saya menulis entri ini untuk meluahkan segala yang ada di dalam kepala saya selama beberapa minggu ini, di samping menjalani terapi terakhir 'tulis jugak apa-apa pun'. Bukannya saya tak pernah cuba untuk tulis apa-apa saja pun sebelum ini. Saya dah cuba sambung manuskrip yang tak siap-siap, dah cuba updet blog bahasa, dah cuba tulis itu ini, tapi boleh kata semuanya tak membuahkan hasil yang memberangsangkan (kata lain untuk 'tak siap').

So here I am, membebel sorang-sorang di blog yang tak ada orang baca ni. Tak kisahlah kan, yang penting saya tulis sesuatu malam ini. Yang penting saya berusaha. Nak kata berkesan tu entahlah, sebab kesannya hanya boleh diketahui selepas ini. Saya betul-betul berharap yang saya akan dapat fokus semula diri saya untuk kembali ke landasan yang betul dan mula berkarya semula. InsyaAllah semoga Tuhan memberikan saya kekuatan fizikal dan mental.

Oh ya, habis tu apa kaitan konflik dalaman dengan semua ini? Ha pasal yang ni saya kena buat entri lain kot, dah berjela sangat pulak rasanya entri ni (eh boleh pulak kau tulis panjang2 nih?!). Sebab pasal konflik dalaman tu agak psikotik sikit, so next time sajalah ya (or not, tengoklah nanti).

Ok dah rasa penat menulis, tapi macam ada kepuasan sikit. Whateverlah, we'll just see nanti.

Terima kasih kepada yang sudi baca sampai habis. Maaf sekiranya entri ini pointless buat anda. Ianya ikhlas dari hati saya.

Wassalam.


Yang kononnya 'writers block',

Nash Azly

Selasa, 1 Januari 2013

Selamat Tahun Baru 2013!!

Salam semua,

Tahun 2012 sudah tiba ke penghujungnya. Alhamdullillah, tahun 2012 telah menyaksikan terbitnya empat naskhah yang mengandungi karya saya. Bermula dengan antologi cerpen KOLAGEN dan novel kanak-kanak DONCHAN yang diterbitkan sempena PABKL pada bulan Mei yang lalu, telah menyusul pula antologi cerpen KETAKUTAN yang terbit pada Sept yang lalu dan yang terbaru, antologi cerpen MAIN GILA yang baru dilancarkan pada awal Disember 2012.

Di dalam empat karya ini, DONCHAN adalah karya saya sepenuhnya di dalam bentuk novel. Walaupun hanya sebuah novel kanak2, namun DONCHAN merupakan pengalaman pertama saya menghasilkan novel penuh dan penat lelah pahit dan manis di dalam penghasilannya membuatkan DONCHAN begitu istimewa buat saya.

DONCHAN

Kembar tak seiras yang lahir pada waktu yang sama dengan DONCHAN adalah KOLAGEN. Yang ini memang tak seiras dari segala segi. Buku ini adalah antologi cerpen gabungan saya dan ayah saya, dan genrenya pula adalah dewasa. KOLAGEN merupakan buku pertama saya dengan Lejen Press.

KOLAGEN

Selepas KOLAGEN, saya teruskan berkarya dengan Lejen Press dan menyumbang sebuah cerpen untuk setiap satu antologi cerpen KETAKUTAN dan MAIN GILA. Untuk yang suka baca cerpen yang lain daripada yang lain, kedua2 buku ini sesuai untuk anda. KETAKUTAN sudah masuk cetakan kedua manakala MAIN GILA pula mendapat komen yang positif daripada kalangan penggemar buku alternatif.

KETAKUTAN

MAIN GILA

Kini sudah masuk tahun baru 2013, insyaAllah saya akan terus giat menulis dan berkarya. Alhamdullillah untuk tahun ini sudah ada projek usahasama di dalam perancangan. Selain itu saya sangat ingin melepasi 'hurdle' yang lebih tinggi tahun ini iaitu untuk menghasilkan sebuah novel dewasa penuh. Moga-moga semuanya berjalan lancar dan saya diberi kekuatan fizikal dan mental untuk mengharungi cabaran ini.

Terima kasih di atas segala sokongan yang diberikan baik daripada para pembaca mahupun daripada rakan-rakan penulis serta penerbit. Semoga saya dapat memberikan yang lebih baik lagi di dalam karya-karya saya selepas ini.

Selamat menyambut tahun baru 2013!


NASH AZLY
1 Januari 2013

Ahad, 30 Disember 2012

Antologi Cerpen : Main Gila

Salam semua,

Dah lama saya tak updet blog ni.
Bukan blog ni saja, malah blog2 lain juga.

Ok, kali ini saya nak umumkan terbitnya antologi cerpen terbaru oleh penerbit buku alternatif yang tidak asing lagi iaitu Lejen Press. Tajuknya ialah "MAIN GILA". Genre antologi cerpen kali ini adalah psiko-thriller pembunuh upahan. Antologi cerpen ini dicorakkan oleh 16 cerpen daripada 17 orang penulis dengan karya-karya yang penuh darah dan kekejaman. Bunyi macam gempak je ya. Nak tau gempak ke tak, silalah baca ya.

Antologi Cerpen MAIN GILA
 
Sebuah cerpen saya turut termuat di dalam antologi cerpen ini. Tajuknya "BELASAH". Ini adalah kali pertama saya menulis di dalam genre berat sebegini, dan terus terang memang agak susah untuk menggarap kisah2 sebegini. Tapi saya berpuas hati dengan hasil tulisan saya kali ini, dan saya harap para pembaca juga dapat kepuasan apabila membacanya.

Cover BELASAH
 
Selain saya, penulis-penulis lain yang turut sama memuatkan karya mereka merupakan gabungan barisan penulis2 terkenal Lejen dan juga beberapa orang penulis jemputan. Berikut adalah lineup cerpen di dalam MAIN GILA.


1. OKU Berkemeja Merah Jambu - Aisa Linglung
2. Suicidium - Luc Abdullah
3. De'Lejen - Sahidzan Salleh
4. 7.65mm - Ophan Bunjos
5. Lelaki Gagah, Kepulan Asap dan Dendam Yang Tidak Akan Pernah Terbalaskan - Amal Hamsan
6.Ezra Hugs - Zoul Yazix
7. Innocent - Nurarnida Sabrina
8. Penebusan - Khrlhsym
9. Belasah - Nash Azly
10. Pembunuh Si Kapitalis - Nami Cobb Nobbler
11. Tugasan Terakhir - Shahir Yusoff
12. Sesudah Suboh - Wan Shafiq
13. El-Dorado - Izwan Hafifi & Syahidah Huzaifah
14. Catatan - Syahid Abdullah
15. Dhabit - Hasrul Rizwan
16. Suu-Chi - Fiq Vertigo

Buku ini baru dilancarkan pada 13 Disember yang lepas di Annexe CM dan telah mendapat sambutan yang memberangsangkan sejak bermula jualannya. Bagi yang berminat, bolehlah dapatkan buku ini di kedai I AM LEJEN di SS15 Subang Jaya atau di mana-mana kedai dan booth yang menjual buku Lejen. Juga dijual secara online di Lejen Shop.

Kalau nak dapatkan daripada saya pun boleh.

Oh ya, sebagai peringatan, buku ini saya klasifikasikan sebagai ganas dan mengandungi unsur-unsur ekstrem yang mungkin kurang sesuai untuk pembaca di bawah umur.

Cover belakang

Diharap semua mendapatkan buku terbaru terbitan Lejen Press ini! Terima kasih!


Nash Azly
30 Disember 2012
 

Selasa, 2 Oktober 2012

Antologi Cerpen : KETAKUTAN

Salam semua,

Sedikit update daripada saya setelah sekian lama membisu ececehh..

Baru-baru ini telah terbit satu antologi cerpen bertajuk KETAKUTAN. Buku ini memuatkan 15 buah cerpen daripada 15 orang penulis dengan satu tema iaitu seram.

KETAKUTAN

Saya turut menyumbang sebuah cerpen seram bertajuk "Jipez Keripez". Cerpen saya mengisahkan tentang pengalaman seram seorang pria sewaktu bekerja shift malam di ibukota.

Selain saya, terdapat juga penulis-penulis lain yang tidak asing lagi di dalam dunia penulisan alternatif turut sama berkolaborasi untuk menghasilkan antologi cerpen terulung ini. Di antaranya adalah Aisa Linglung (Sperma Cinta, Sengih Kerang), Amal Hamsan (Heroin) dan juga Izwan Hafifi (KasaRnova).

Berikut adalah senarai penuh penulis dan karya mereka di dalam KETAKUTAN :

1. PESAN LISA - Aisa Linglung
2. ROSE & LAILA - Izwan Hafifi
3. TILAM - Hasrul Rizwan
4. PARANORMAL - Amal Hamsan
5. REBORN ALYA - Wan Shafiq
6. CORO - Gaban Morka
7. TEDDY BEAR KUNING - Amirul Bozu
8. SKETSA MAYA RUMAH KEDAI NYONYA JUN - Ophan Bunjos
9. FREEDOM - The Bent Pencil
10. JIPEZ KERIPEZ - Nash Azly
11. CUAK - Shafiq Helmi
12. KORBAN JUDAS - Fikri Misti
13. PISANG - Razman
14. SERIAU DIBALIK PULAU - Syahid Abdullah
15. DESTINASI TERAKHIR - Khrlhsym

Buku ini telah diterbitkan oleh Lejen Press dan mula dijual sejak awal September yang lepas. Setakat dilancarkan sehingga kini, sambutan yang diberikan begitu menggalakkan. Jika anda meminati genre sebegini, anda boleh dapatkan KETAKUTAN dengan :

a. membeli secara online di shop.lejenpress.com.
b. membeli di booth LejenFixi di jelajah LejenFixi yang berdekatan.
c. membeli di Kinokuniya atau kedai2 buku terpilih yang menjualnya.
D. membeli daripada saya (boleh dapat sain kalau nak :p )

Jika berminat boleh hubungi saya di FB saya okey.

Terima kasih dan wassalam.

Nash Azly

Jumaat, 3 Ogos 2012

Reviu Novel : Invasi


 INVASI oleh Raja Faisal


     Invasi adalah buku pertama terbitan Buku Fixi yang saya baca. Mengapa Invasi? Terus terang saya katakan yang imej buku2 terbitan Buku Fixi pada saya waktu itu adalah agak 'panas', makanya saya memilih yang saya rasa paling tidak panas, takut terkejut budaya pula nanti. Lagipun masakan ada adegan panas di dalam kisah penaklukan makhluk asing? Waktu itu saya tak tahu nak pilih Invasi atau Zombijaya. Akhirnya saya pilih Invasi sebab saya peminat sci-fi.

Kita ke ceritanya pula. Invasi mengisahkan tentang Ahmad Bayani dan rakannya Anwar yang terperangkap di dalam peristiwa penaklukan Kuala Lumpur oleh makhluk asing dari angkasa. Sewaktu melarikan diri, mereka bertemu dengan Ika dan kumpulan mereka kemudian bergabung dengan kumpulan Ajak, Achet dan Jo demi survival mereka.

Separuh yang pertama lebih banyak mengisahkan apa yang berlaku dan bagaimana mereka melarikan diri mencari tempat selamat daripada buruan makhluk-makhluk penceroboh. Banyak juga adegan gore penuh darah berkecai dan bersepai sewaktu pertempuran mereka dengan makhluk asing itu sehingga membuatkan saya teringatkan cerita Battle Los Angeles, cuma bezanya di dalam Invasi yang bertempur itu hanyalah orang biasa dan bukannya askar.

Apabila sampai ke lebih kurang bermulanya separuh yang kedua, kisahnya berubah rentak kepada bagaimana mereka akan menewaskan makhluk2 asing tersebut pula seterusnya menamatkan penjajahan alien di muka bumi ini. Bunyinya memang macam bagus tapi cara penceritaannya tak membuatkan ianya nampak macam cerita Save-the-World poyo stereotaip yang selalu kita lihat dalam filem-filem Amerika. Dan bermula dari sini saya mula tidak dapat melepaskan buku ini sehingga ke penamat.

Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan gaya persembahan Raja Faisal dengan gaya dialog super  selamba yang pada mulanya sedikit kekok untuk saya cerna namun lama kelamaan lancar saja penghadaman saya. Mungkin kerana gaya bahasa naratif yang diolah dengan baik berjaya membantu mengimbangkannya kembali.

Namun begitu seperti yang dijangka, masih terdapat unsur-unsur seksual di dalam Invasi. Letaknya pula di awal-awal cerita yang saya pasti membuat ramai pembaca yang belum apa-apa dah terkejut. Hasilnya, mungkin ada yang jelek dan terus berhenti membaca, tapi mungkin ada pula yang menjadi lebih bersemangat untuk terus membaca.

Pada saya, jikalau tujuannya iaitu untuk menunjukkan sifat Bayani yang playboy, maka memang sesuailah. Tapi itu pendapat saya sebagai seorang pembaca yang dah dewasa. Tidak dapat tidak hati saya tetap ingin menyatakan yang unsur-unsur sebegini kurang sesuai bagi bacaan golongan remaja atau belasan tahun.

Penamat novel ini pada saya terlalu pendek dan seperti tergesa-gesa. Adrenalin di dalam tubuh saya masih mengalir deras ketika penulis menutup tirai persembahannya menyebabkan saya tak boleh tidur lepas habis baca. Wrap-up novel saya kira masih boleh diperbaiki lagi. Mungkin dengan menyatakan secara ringkas apa yang terjadi pada watak-watak lain juga seperti Ajak, Achet dan Jo, dan menceritakan sedikit keadaan dunia selepas itu.

Akhir kata, saya berikan Invasi 3.5 daripada 5 bintang. Tahniah kepada Raja Faisal, semoga beliau giat berkarya lagi selepas ini. Saya yang pasti akan look forward untuk kisah-kisah sci-fi ringan sebegini di masa-masa yang akan datang.


Nash Azly
3 Ogos 2012