Ahad, 30 Disember 2012

Antologi Cerpen : Main Gila

Salam semua,

Dah lama saya tak updet blog ni.
Bukan blog ni saja, malah blog2 lain juga.

Ok, kali ini saya nak umumkan terbitnya antologi cerpen terbaru oleh penerbit buku alternatif yang tidak asing lagi iaitu Lejen Press. Tajuknya ialah "MAIN GILA". Genre antologi cerpen kali ini adalah psiko-thriller pembunuh upahan. Antologi cerpen ini dicorakkan oleh 16 cerpen daripada 17 orang penulis dengan karya-karya yang penuh darah dan kekejaman. Bunyi macam gempak je ya. Nak tau gempak ke tak, silalah baca ya.

Antologi Cerpen MAIN GILA
 
Sebuah cerpen saya turut termuat di dalam antologi cerpen ini. Tajuknya "BELASAH". Ini adalah kali pertama saya menulis di dalam genre berat sebegini, dan terus terang memang agak susah untuk menggarap kisah2 sebegini. Tapi saya berpuas hati dengan hasil tulisan saya kali ini, dan saya harap para pembaca juga dapat kepuasan apabila membacanya.

Cover BELASAH
 
Selain saya, penulis-penulis lain yang turut sama memuatkan karya mereka merupakan gabungan barisan penulis2 terkenal Lejen dan juga beberapa orang penulis jemputan. Berikut adalah lineup cerpen di dalam MAIN GILA.


1. OKU Berkemeja Merah Jambu - Aisa Linglung
2. Suicidium - Luc Abdullah
3. De'Lejen - Sahidzan Salleh
4. 7.65mm - Ophan Bunjos
5. Lelaki Gagah, Kepulan Asap dan Dendam Yang Tidak Akan Pernah Terbalaskan - Amal Hamsan
6.Ezra Hugs - Zoul Yazix
7. Innocent - Nurarnida Sabrina
8. Penebusan - Khrlhsym
9. Belasah - Nash Azly
10. Pembunuh Si Kapitalis - Nami Cobb Nobbler
11. Tugasan Terakhir - Shahir Yusoff
12. Sesudah Suboh - Wan Shafiq
13. El-Dorado - Izwan Hafifi & Syahidah Huzaifah
14. Catatan - Syahid Abdullah
15. Dhabit - Hasrul Rizwan
16. Suu-Chi - Fiq Vertigo

Buku ini baru dilancarkan pada 13 Disember yang lepas di Annexe CM dan telah mendapat sambutan yang memberangsangkan sejak bermula jualannya. Bagi yang berminat, bolehlah dapatkan buku ini di kedai I AM LEJEN di SS15 Subang Jaya atau di mana-mana kedai dan booth yang menjual buku Lejen. Juga dijual secara online di Lejen Shop.

Kalau nak dapatkan daripada saya pun boleh.

Oh ya, sebagai peringatan, buku ini saya klasifikasikan sebagai ganas dan mengandungi unsur-unsur ekstrem yang mungkin kurang sesuai untuk pembaca di bawah umur.

Cover belakang

Diharap semua mendapatkan buku terbaru terbitan Lejen Press ini! Terima kasih!


Nash Azly
30 Disember 2012
 

Selasa, 2 Oktober 2012

Antologi Cerpen : KETAKUTAN

Salam semua,

Sedikit update daripada saya setelah sekian lama membisu ececehh..

Baru-baru ini telah terbit satu antologi cerpen bertajuk KETAKUTAN. Buku ini memuatkan 15 buah cerpen daripada 15 orang penulis dengan satu tema iaitu seram.

KETAKUTAN

Saya turut menyumbang sebuah cerpen seram bertajuk "Jipez Keripez". Cerpen saya mengisahkan tentang pengalaman seram seorang pria sewaktu bekerja shift malam di ibukota.

Selain saya, terdapat juga penulis-penulis lain yang tidak asing lagi di dalam dunia penulisan alternatif turut sama berkolaborasi untuk menghasilkan antologi cerpen terulung ini. Di antaranya adalah Aisa Linglung (Sperma Cinta, Sengih Kerang), Amal Hamsan (Heroin) dan juga Izwan Hafifi (KasaRnova).

Berikut adalah senarai penuh penulis dan karya mereka di dalam KETAKUTAN :

1. PESAN LISA - Aisa Linglung
2. ROSE & LAILA - Izwan Hafifi
3. TILAM - Hasrul Rizwan
4. PARANORMAL - Amal Hamsan
5. REBORN ALYA - Wan Shafiq
6. CORO - Gaban Morka
7. TEDDY BEAR KUNING - Amirul Bozu
8. SKETSA MAYA RUMAH KEDAI NYONYA JUN - Ophan Bunjos
9. FREEDOM - The Bent Pencil
10. JIPEZ KERIPEZ - Nash Azly
11. CUAK - Shafiq Helmi
12. KORBAN JUDAS - Fikri Misti
13. PISANG - Razman
14. SERIAU DIBALIK PULAU - Syahid Abdullah
15. DESTINASI TERAKHIR - Khrlhsym

Buku ini telah diterbitkan oleh Lejen Press dan mula dijual sejak awal September yang lepas. Setakat dilancarkan sehingga kini, sambutan yang diberikan begitu menggalakkan. Jika anda meminati genre sebegini, anda boleh dapatkan KETAKUTAN dengan :

a. membeli secara online di shop.lejenpress.com.
b. membeli di booth LejenFixi di jelajah LejenFixi yang berdekatan.
c. membeli di Kinokuniya atau kedai2 buku terpilih yang menjualnya.
D. membeli daripada saya (boleh dapat sain kalau nak :p )

Jika berminat boleh hubungi saya di FB saya okey.

Terima kasih dan wassalam.

Nash Azly

Jumaat, 3 Ogos 2012

Reviu Novel : Invasi


 INVASI oleh Raja Faisal


     Invasi adalah buku pertama terbitan Buku Fixi yang saya baca. Mengapa Invasi? Terus terang saya katakan yang imej buku2 terbitan Buku Fixi pada saya waktu itu adalah agak 'panas', makanya saya memilih yang saya rasa paling tidak panas, takut terkejut budaya pula nanti. Lagipun masakan ada adegan panas di dalam kisah penaklukan makhluk asing? Waktu itu saya tak tahu nak pilih Invasi atau Zombijaya. Akhirnya saya pilih Invasi sebab saya peminat sci-fi.

Kita ke ceritanya pula. Invasi mengisahkan tentang Ahmad Bayani dan rakannya Anwar yang terperangkap di dalam peristiwa penaklukan Kuala Lumpur oleh makhluk asing dari angkasa. Sewaktu melarikan diri, mereka bertemu dengan Ika dan kumpulan mereka kemudian bergabung dengan kumpulan Ajak, Achet dan Jo demi survival mereka.

Separuh yang pertama lebih banyak mengisahkan apa yang berlaku dan bagaimana mereka melarikan diri mencari tempat selamat daripada buruan makhluk-makhluk penceroboh. Banyak juga adegan gore penuh darah berkecai dan bersepai sewaktu pertempuran mereka dengan makhluk asing itu sehingga membuatkan saya teringatkan cerita Battle Los Angeles, cuma bezanya di dalam Invasi yang bertempur itu hanyalah orang biasa dan bukannya askar.

Apabila sampai ke lebih kurang bermulanya separuh yang kedua, kisahnya berubah rentak kepada bagaimana mereka akan menewaskan makhluk2 asing tersebut pula seterusnya menamatkan penjajahan alien di muka bumi ini. Bunyinya memang macam bagus tapi cara penceritaannya tak membuatkan ianya nampak macam cerita Save-the-World poyo stereotaip yang selalu kita lihat dalam filem-filem Amerika. Dan bermula dari sini saya mula tidak dapat melepaskan buku ini sehingga ke penamat.

Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan gaya persembahan Raja Faisal dengan gaya dialog super  selamba yang pada mulanya sedikit kekok untuk saya cerna namun lama kelamaan lancar saja penghadaman saya. Mungkin kerana gaya bahasa naratif yang diolah dengan baik berjaya membantu mengimbangkannya kembali.

Namun begitu seperti yang dijangka, masih terdapat unsur-unsur seksual di dalam Invasi. Letaknya pula di awal-awal cerita yang saya pasti membuat ramai pembaca yang belum apa-apa dah terkejut. Hasilnya, mungkin ada yang jelek dan terus berhenti membaca, tapi mungkin ada pula yang menjadi lebih bersemangat untuk terus membaca.

Pada saya, jikalau tujuannya iaitu untuk menunjukkan sifat Bayani yang playboy, maka memang sesuailah. Tapi itu pendapat saya sebagai seorang pembaca yang dah dewasa. Tidak dapat tidak hati saya tetap ingin menyatakan yang unsur-unsur sebegini kurang sesuai bagi bacaan golongan remaja atau belasan tahun.

Penamat novel ini pada saya terlalu pendek dan seperti tergesa-gesa. Adrenalin di dalam tubuh saya masih mengalir deras ketika penulis menutup tirai persembahannya menyebabkan saya tak boleh tidur lepas habis baca. Wrap-up novel saya kira masih boleh diperbaiki lagi. Mungkin dengan menyatakan secara ringkas apa yang terjadi pada watak-watak lain juga seperti Ajak, Achet dan Jo, dan menceritakan sedikit keadaan dunia selepas itu.

Akhir kata, saya berikan Invasi 3.5 daripada 5 bintang. Tahniah kepada Raja Faisal, semoga beliau giat berkarya lagi selepas ini. Saya yang pasti akan look forward untuk kisah-kisah sci-fi ringan sebegini di masa-masa yang akan datang.


Nash Azly
3 Ogos 2012

Sabtu, 21 Julai 2012

Salam Ramadhan!



Assalamualaikum wbt,

Sempena bulan mulia ini, saya ingin menguucapkan selamat menyambut Ramadhan dan selamat berpuasa kepada semua yang beragama Islam.Semoga Ramadhan kali ini membawa keberkatan yang lebih kepada kita semua.

Secara peribadi, saya sendiri ingin memperbaiki ibadah saya di bulan puasa ini. Sedar diri yang jauh daripada sempurna, insyaAllah saya harap dapatlah saya memperbaiki diri saya luar dan dalam sepanjang Ramadhan ini dan seterusnya selepas ini juga.

Tentang penulisan, sudah seminggu juga saya tidak menulis apa-apa dek sebab ujian Tuhan terhadap diri saya. Alhamdullillah, insyaAllah selepas ini saya akan meneruskan kembali jadual penulisan saya.

Selalu orang kata bulan puasa adalah bulan untuk kurangkan aktiviti dan banyakkan ibadah. Ya betul kalau aktiviti2 yang dibuat tu tak berfaedah. Kalau yang berfaedah maka kita patut ambil peluang bulan Ramadhan ini untuk memperbanyakkannya lagi kan. Yang tak berfaedah tu patutnya tak payah buat langsunglah tak kiralah Ramadhan atau tidak.

Oleh itu sama-sama kita meriahkan bulan ini dengan pelbagai aktiviti-aktiviti bermanfaat, semoga Ramadhan kali ini menjadi bulan yang produktif kepada kita semua. Peringatan ini saya tujukan pada diri sayalah dahulu.

Okey, jumpa lagi di lain kali.
Jangan lupa niat bersahur :)

Wassalam..

Nash Azly


Jumaat, 29 Jun 2012

Reviu Novel : The Untold Story


 As-salam dan selamat sejahtera kepada semua.

Pada hari ini saya ingin mengulas tentang sebuah novel bertajuk The Untold Story. Walaupun tajuknya di dalam bahasa inggeris, namun sebenarnya novel ini merupakan novel bahasa melayu. Ianya adalah karya Farah Husain, seorang penulis yang juga merupakan rakan saya.



Tajuk : The Untold Story
Penulis : Farah Husain
Terbitan : One Nusantara
Tahun : 2011


Novel The Untold Story (TUS) ini merupakan novel dengan genre fantasi urban, satu genre yang jarang sangat diketengahkan oleh penulis novel bahasa melayu di Malaysia ini. Syabas saya ucapkan kepada Farah Husain kerana berani menulis lari dari norma karya yang berada di pasaran. Tahniah juga kepada One Nusantara kerana berani menerbitkan karya sebegini.

Ok cukup dengan puji-pujian. Mari lihat apakah kisah yang dipersembahkan di dalam TUS ini. Kisah di dalam novel ini bermula apabila Teja Aira secara tak sengaja telah menjadi saksi kepada satu kejadian yang melibatkan entiti-entiti paranormal daripada kaum Night Crawler dan Shifter. Ekoran daripada peristiwa tersebut, Aira telah ditangkap oleh Diaz dari kaum Shifter, namun begitu kemudiannya diselamatkan oleh Aidan dan pasukan Nightcrawler 'Dream Team'nya.

Bermula dari sinilah, Aira terus terjebak di dalam satu dunia asing yang selama ini cuba disembunyikan oleh mereka-mereka yang berkaitan daripada pengetahuan manusia biasa. Plot menjadi semakin serius apabila kumpulan Night Crawler mendapat tahu akan kewujudan satu komplot jahat daripada pihak Shifter yang bakal menghancurkan hijab di antara dunia mereka dan dunia manusia. Di dalam pada itulah Aira secara sedar dan tidak telah jatuh hati pada Aidan, namun begitu dia harus memilih di antara Aidan dan Diaz yang telah lebih dahulu mencuri hatinya.

Pada bab awal pembacaan, memang terbayang di dalam kepala saya bahawa ini hanyalah salah satu picisan daripada fenomena vampire/werewolf flick yang pada masa itu sedang membanjiri pasaran (read : Twilight). Namun begitu TUS adalah berbeza. Walaupun di dalam TUS juga wujud kaum-kaum kegelapan seperti Night Crawler dan Shifter dan juga Custos, namun garapan penulis tentang kaum-kaum ini tidak mengingatkan saya kepada kisah-kisah werewolf/vampire lain yang pernah saya baca atau tonton sebelum ini. Oleh itu saya berpendapat yang Farah Husain telah berjaya memisahkan diri daripada elemen-elemen werewolf/vampire dan meletakkan The Untold Story di dalam kelasnya yang tersendiri.

Klimaks kepada kisah ini sangat memuaskan dengan scene-scene pertarungan yang membuatkan saya bulu roma saya meremang. Namun begitu penyudahan yang diberi sedikit mengecewakan saya. Kenapa? Kerana penyudahan sebegini secara tak langsung bermaksud yang TUS akan ada sambungannya kelak! Haih kena tunggu la pulak...

Shifter? Imej hiasan je..

Secara keseluruhannya saya cukup berpuas hati dengan TUS. Penceritaan yang padu, dan suntikan idea-idea segar di dalam konsep sebegini menjadikan TUS sebagai karya pertama yang cukup mantap bagi penulis muda Farah Husain! Sekalung tahniah daripada saya!
 
*The Untold Story boleh didapati secara online di http://bookstation.com.my/


Nash Azly 
28 Jun 2012
10pm

Khamis, 28 Jun 2012

Sehari di Seminar Antarabangsa 30 Tahun Dasar Pandang ke Timur


As-salam dan selamat sejahtera,

Pada hujung minggu yang lepas, saya sebagai seorang bekas pelajar di bawah Dasar Pandang ke Timur telah menghadiri Seminar Antarabangsa sempena 30 tahun Look East Policy (LEP). Seorang rakan saya yang juga seorang penulis telah mencadangkan agar kami menggembleng tenaga untuk membuka booth pada hari tersebut. Nak kata booth pun bukanlah booth sangat, lebih kepada meja saja. Saya setuju saja.

Pada hari seminar tersebut maka saya dan dua lagi rakan penulis iaitu Masdalifadzlie Saaid dan juga Ilham Hamdani telah menyusun buku-buku kami di atas sebuah meja putih yang disediakan, tanpa sebarang hiasan-hiasan lain! Memang dasar penulis, dan bukan peniaga.. maka kami memang tak reti nak hias-hias atau bubuh apa-apa pun bentuk marketing tools.

Saya meletakkan ketiga-tiga judul karya saya yang ada iaitu Antologi Cerpen Tentang Cinta, Donchan dan juga KolaGen.

Kebetulan pula lagi dua rakan penulis itu pun punyai tiga judul juga masing-masing. Masdalifadzlie meletakkan susunan novel fantasinya Pendeta Gua Khayalan, Duyung Pulau Kenchana dan novel humor 10 Juta Pulu$. Ilham Hamdani pula membariskan kumpulan cerpen Mekar Sakura di Mimbar Cinta, dan dua novel genre cinta islami iaitu Hidayah Cinta dan Bara Cinta Canberra.


 Dari kiri Ezam, Nash Azly, Najib, Masdalifadzlie dan Dr Hasnul (foto dari fb Ezam.)


Sambutan yang diterima sangat menggalakkan daripada pengunjung seminar. Rata-rata pengunjung seminar pada hari tersebut adalah bekas ahli pelajar di bawah LEP, ahli-ahli akademik daripada Malaysia, Jepun dan Korea, dan juga daripada sektor korporat dan badan bukan kerajaan daripada Malaysia, Jepun dan Korea.

Agenda tumpuan ramai pastilah ucapan daripada pengasas dan penaung Dasar Pandang ke Timur itu sendiri iaitu Tun Mahathir Mohamad. Ucap beliau, LEP masih relevan dan masih banyak yang perlu dipelajari daripada Timur dari sudut-sudut selain kemajuan ekonomi dan perindustrian.

Maka di situlah di mana kami bertiga ini adalah relevan, di mana walaupun di bawah naungan LEP, namun pada waktu yang sama kami menceburi bidang penulisan, sesuatu yang berbeza sama sekali dengan bidang perindustrian dan teknikal yang selama ini sinonim dengan LEP.

Ada pengunjung yang bertanya, "Kenapa meja ini letak benda yang tak ada kena mengena dengan LEP?"

Saya cuma menjawab, "Ini adalah produk yang dihasilkan oleh produk LEP itu sendiri." Pengunjung berbangsa Jepun itu mengangguk-angguk sahaja dan berlalu pergi.

Saya faham kehadiran kami di seminar itu bagaikan melawan arus LEP, namun pada kami, inilah LEP untuk masa hadapan. Kita sudah lihat dan belajar, maka kita perlu aplikasikan apa yang kita telah pelajari dengan apa saja yang kita lakukan sekarang ini, dengan cara kita sendiri.

OKlah cukuplah kata-kata yang bersemangat tapi kurang difahami ramai itu.

Berbalik kepada penjualan buku kami, sambutan daripada rakan taulan memang membuat saya terharu. Naskhah Tentang Cinta 4 buah yang saya ada semuanya telah habis terjual. Donchan dan KolaGen juga masing-masing terjual lebih kurang 10 buah. Terima kasih semua.

 Budi baik rakan-rakan yang sudi beli walaupun saya tahu ada yang tak minat membaca pun, namun saya tetap hargai sokongan kalian. Harapan saya buku saya akan buat kalian menjadi berminat untuk membaca. Juga penghargaan kepada rakan-rakan yang setia memberi sokongan moral sepanjang seminar berlangsung. Hanya Tuhan dapat membalas budi kalian semua.

Sesi autograf (foto dari fb Ezam.)

InsyaAllah jika ada peluang lagi, saya ingin lagi meluangkan masa untuk membuka booth sebegini lagi. Di dalam kesibukan menulis, kadang-kadang untuk tukar angin, aktiviti sebegini memang menyegarkan saya dari segi semangat untuk berkarya (walaupun penat fizikal lepas sehari macam ni). Oleh itu, untuk rakan-rakan penulis di luar sana, jangan lupa ajak saya kalau nak buka booth ya :)

Oklah itu saja untuk hari ini. Jumpa lagi.

Wassalam

Nash Azly


 

Rabu, 20 Jun 2012

Aktiviti : Kad Bisnes

Salam semua,

Apa khabar? Semoga semua di dalam keadaan sihat dan ceria.

Tak ada update yang menarik sangat pun untuk kali ini. Kalau rajin nak baca saya membebel boleh teruskan. Terima kasih.

Baiklah mari mulakan. Hari ini saya pergi buat kad bisnes. Inipun adalah di atas saranan kawan-kawan. Secara peribadi, saya tak nampak sangat fungsi kad bisnes. Mungkin mindset saya belum cukup bisnes lagi kot sampai nak kena ada kad-kad bagai. Selama ini saya dapat kad daripada orang pun.. hmm ada juga yang saya tengok balik, tapi 99% memang taktau la letak kat mana.

Tu sebab saya sendiri pada awalnya tak berapa setuju nak buat. Tapi dah semua suruh buat, saya buat sajalah. Dan hasilnya seperti di bawah ini.




Ok tak? Boleh la kan, untuk first timer. Harga pun murah saja, RM30 satu set. Nak print gambar ke apa ke tak kisah, harga tu jugak. Entah-entah memang standard, cuma saya je yang jakun noob.

Designing? Buat sendiri saja, then brader kedai tu tolong edjas-edjas apa yang patut.

Bila nak pakai kad ni? Ha, soalan tu saya pun taktau nak jawab macam mana. Bawak jela pergi mana2 nanti. Jumpa orang kasik je la kot.

Teringat zaman budak2 dulu buat bisnes kad ada gambar FidoDido ikon 7up tu. Tak ingat harga baper tapi murah je. Peh sekolah rendah lagi dah ada bisnes kad kau.. memang sayang la nak bagi orang. Last-last entah mana tah perginya.

Harap2 kad kali ini akan memberikan manfaat berbanding dulu. Baik kepada saya, baik kepada penerima. Give and take lah orang putih kata.

Okey sampai sini saja bebelan saya untuk hari ini. Sehingga berjumpa lagi, wassalam dan bye2.

Nash Azly  

Ahad, 10 Jun 2012

Donchan di MPH!

Assalamualaikum wbt,

Sudah sekian lama saya tidak mengudpate blog ini mahupun aktiviti penulisan saya. Maaflah ya, selepas Pesta Buku Antarabangsa KL tempoh hari, saya berehat seketika dan selepas itu saya ke Jepun untuk satu program (saya akan tulis tentang ini di dalam entri seterusnya).

Sekembalinya saya ke tanah air, saya mabuk Jepun buat beberapa minggu, sehingga menyebabkan saya tak berapa menulis. Saya panggil tempoh ini sebagai tempoh extended jetlag ataupun jetlag berlanjutan. Alhamdullillah kini saya sudah hampir pulih dan sudah mula kembali fokus kepada penulisan :).

Baiklah pada minggu ini saya cuma ingin beritahu yang novel saya Donchan telah pun memasuki MPH. Saya sendiri belum berkesempatan untuk pergi ke MPH berdekatan, namun ini telah diberitahu oleh mentor saya Pn. Maria Kajiwa. Sempat juga beliau beli senaskhah. Terima kasih kak!

Gembiranya saya bila mengetahui yang akhirnya Donchan telah masuk ke kedai. Bayangkanlah, buku tulisan anda telah mula dijual di kedai-kedai! Boleh dicapai, diambil, dibelek dan dibeli serta yang paling penting, dibaca, oleh orang2 yang anda sendiri tidak kenal! Apakah perasaan anda? Apakah perasaan saya?


Ihsan daripada FB Pn Maria Kajiwa

Perasaan saya bercampur baur sebenarnya. Gembira pun ada, berdebar pun ada, tak berperasaan sangat pun ada. Gembira kerana saya telah berjaya membuat langkahan pertama di dalam mencapai matlamat hidup saya. Berdebar kerana tidak tahu respons daripada para pembaca novel saya itu. Buat masa ini hanya Pn. Maria saja yang telah memberi respons yang memberangsangkan terhadap Donchan. Saya berterima kasih banyak-banyak kepada beliau, ianya sedikit sebanyak telah melegakan debar di hati saya (masih berdebar juga sebenarnya).

Tak berperasaan pula adalah kerana sebagai seorang yang tak boleh multitask dan fikir banyak benda di dalam satu masa, saya tak mahu membuang masa merisaukan diri dengan memikirkan respon pembaca, samada penulisan saya baik ke tak, apa kesalahan2 atau komen2 yang bakal datang dan lain2 perkara lagi.  Kalau saya mula fikirkan perkara2 tersebut, memang susah la saya nak menulis. Oleh itu saya perlu juga mengambil sikap dingin hanya untuk memberi ruang kepada diri saya untuk terus berkarya.

 InsyaAllah, saya tetap akan mengambilkira semua faktor2 yang tersebut, cuma bukanlah setiap masa dan ketika. Diharapkan agar semua faham. Kalau nampak macam saya ni macam sombong je tu, mungkin saya cuma tak perasan sebenarnya. Maaf saya ucapkan awal2 ni ya.

Baiklah itu saja yang ingin saya update (bebel)kan untuk hari ini. Semoga kita bertemu lagi. Saya akan menulis tentang lawatan program sukarelawan saya ke Jepun pada 14 - 21 May yang lepas.

Sebelum terlupa, jangan lupa dapatkan novel kanak-kanak saya Donchan di MPH dengan harga RM12 sahaja. InsyaAllah saya yakin yang anda akan berpuas hati dengan cerita yang saya persembahkan. Okey jumpa lagi!

Wassalam.

Nash Azly

Isnin, 30 April 2012

PABKL 2012

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,



Ok untuk latest update tentang PABKL saya dah update kat blog belajar bahasa sebab sana lagi ramai follower. Hehe bukan saya lebih pentingkan sana, tapi sebab ini tentang penjualan buku di pesta buku, so kenalah inform pada seramai yang mungkin, bukan? Nanti lepas PABKL saya updatelah cerita-cerita di sini pulak okey!

Baiklah ini link kepada update tersebut, KLIK SINI terima kasih.

Ok, kepada yang ingin bertemu dengan saya, jumpa di PABKL Sabtu ni 4 - 5 petang, booth Lejen/Fixi okey!
Thanks semua!

Nash Azly

Sabtu, 21 April 2012

Antologi Cerpen : KolaGen

Assalamualaikum wbt,

Alhamdullillah syukur saya ucapkan ke hadrat ilahi, kerana dengan ini antologi cerpen KolaGen telah disahkan bakal terbit hujung bulan ini dan telah pun dibuka untuk pre-order atau tempahan awal.

KolaGen
Antologi cerpen ini adalah hasil kolaborasi di antara saya dan ayah saya iaitu Sahlan Mohd Saman. Berkonsepkan 'cerkon' atau cerita kontot (cerpen yang betul-betul pendek), masing-masing saya telah menyumbangkan 9 buah cerpen dan ayah pula menyumbang 11 buah cerpen pelbagai tema daripada seram, misteri, persahabatan, politik dan lain-lain lagi.

Dengan nama KolaGen (Kolaborasi [Dua] Generasi), antologi ini bermaksud menampilkan hasil karya daripada dua generasi, untuk sama-sama dinikmati intipati daripada isinya. Walaupun tujuannya bukanlah untuk diperbandingkan, namun pastinya perbandingan tidak dapat dielakkan. Pun begitu, kami tetap tampilkan juga, agar sama-sama kita menerima perbezaan generasi yang ujud serta meraikannya bersama-sama.

Diharapkan agar kehadiran antologi cerpen KolaGen ini selain dapat menghibur, diharap dapat juga memberikan suntikan 'semangat baru' terhadap kelangsungan dunia penulisan dan penerbitan itu sendiri, yang dewasa ini bagaikan tercari-cari identiti di dalam kemajuan media moden seperti komputer dan internet.

Dunia sentiasa berubah, maka kita pun harus mengadaptasi diri. Bukan untuk wang, glamer mahupun kuasa, namun hanya kerana itu adalah survival jati dan identiti diri kita. Jika kita yang tidak meraikannya, maka tiada siapa yang akan peduli akan kewujudan kita di muka bumi ini.

KolaGen boleh didapati secara online ataupun belian langsung melalui agen-agen Lejenpress atau pun di booth-booth Lejenpress di mana-mana bermula hujung bulan ini di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012. Tempahan awal untuk penghantaran boleh dibuat di link di bawah ini :

http://shop.lejenpress.com/shop/kolagen/
 
Terima kasih dan wassalam.


Nash Azly


Jumaat, 23 Mac 2012

Di Sebalik Tabir : Lagu Cinta Osaka Bab 3




As-salam semua,

Bab 3 enovel Lagu Cinta Osaka (LCO) telah pun disiarkan di laman penulisan2u.my. Alhamdullillah ada juga nampaknya yang sudi mengikuti kisah tersebut. Terima kasih saya ucapkan kerana sudi meluangkan masa untuk membaca karya saya.

Adapun tujuan saya menulis pada hari ini adalah di atas permintaan seorang pembaca/peminat saya (fuh boleh tahan kau ada peminat :) ) yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang latar dan kisah di sebalik apa yang dihidangkan di dalam Bab 3 LCO. Daripada itulah maka saya akan bercerita serba sedikit berkenaan latar dan watak ala2 'behind the scenes' lah atau di dalam bahasa kitanya di sebalik tabir (DST).

Hm macam mana nak mulakan ya?

Oklah memandangkan latar Bab 3 LCO adalah Nipponbashi dan Namba, maka kali ni saya cerita tentang Nipponbashi dahulu ya (kalau sempat saya  citer pasal Namba pulak :p )

Nippon-bashi (日本橋)yang juga bermaksud "Jambatan Jepun" adalah bandar yang terkenal dengan peralatan elektronik di Osaka. Ianya juga lebih dikenali dengan nama Denden Town tapi saya lebih prefer nama Nipponbashi taktau kenapa. Kalau di Tokyo mungkin anda pernah dengar tentang Akihabara. Ya macam tulah lebih kurang Niponbashi ni.

 Den-den Town, Nipponbashi

 Sewaktu saya di sana, memang boleh kata selalu juga turun ke Nipponbashi ni. Daripada awal datang ke Jepun sampailah dah nak balik ke Malaysia semula, kalau nak cari barang2 elektrik atau gadget etc memang datang sini punya. Nak cari tv, kamera, mini-compo (hahah orang lama!), kamus elektronik, apa saja. Harga murah dan banyak pilihan. Dan boleh tawar menawar lagi.

 Kakilima kedai-kedai di Denden Town

Kalau orang Malaysia atau pelajar dari kawasan lain datang berkunjung ke Osaka, kenalah bawa ke sini. Tapi saya tak kisah bwa mereka sebab alang2 saya datang sini saya mesti singgah makan di satu kedai udon yang saya suka di sini.  Lepas penat merayau satu Nipponbashi, memang layan kalau pekena udon kat kedai yang satu ni. Alamak nama dia dah tak ingatlah pulak. Maaflah ya.

Di dalam Bab 3 LCO juga ada satu scene sekilas di Nipponbashi di mana Hiro terpandang satu papan iklan lifesize model tengah posing tu kan. Lepas tu Hiro teringat yang kat bilik kelab dia pun ada juga papan yang serupa.

Sebenarnya babak sekilas itu adalah daripada pengalaman saya sendiri. Di universiti saya ada sebuah papan iklan yang sebegitu terpacak berdiri di dalam bilik research robotik. Setiap kali lepas kuliah di dewan bersebelahan, saya akan melalui bilik itu yang pintunya biasanya terbuka luas dan setiap kali juga saya akan tersenyum di dalam hati melihat Fukada Kyoko yang setia berdiri sambil tersenyum di celah-celah robot dan wayar-wayar berselirat. Memang tak kena tempat tapi pada masa yang sama kena pada tempatnya!

Fukada Kyoko tengah posing

Begitulah lebih kurang segmen ringkas DST untuk kali ni. Kalau ikutkan ada je benda nak cerita tapi nanti tak abis-abis pulak. Sebelum entri ni jadi berjela baiklah saya stop kat sini dulu ya. Lepas ni kalau ada scene kat Namba lagi saya cerita pasal Namba pulak ya.

Ok terima kasih kerana temankan saya membebel kat sini. Jangan lupa untuk mengikuti bab-bab LCO yang seterusnya okey. Kita jumpa lagi di segmen DST yang akan datang. Mata ne!


Nash Azly
http://www.penulisan2u.my/tag/lagu-cinta-osaka/

Rabu, 14 Mac 2012

Berita tentang Antologi Cerpen



Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Semalam saya dimaklumkan oleh pihak penerbitan yang mana saya telah menghantar manuskrip antologi cerpen saya bahawa mereka telah mempertimbangkan dan menerima manuskrip saya untuk diterbitkan.

Alhamdullilah syukur saya ucapkan. Butiran lanjut masih belum diketahui lagi, namun saya akan maklumkan lagi dari semasa ke semasa.

Buat masa ini saya masih menunggu keputusan rasmi daripada pihak penerbitan tersebut beserta pemulangan manuskrip untuk diperbaiki apa yang patut.

Okey sampai jumpa lagi!

Wassalam.


Nash Azly 

Selasa, 13 Mac 2012

Lagu Cinta Osaka : Bab 2 sudah keluar!



Assalamualaikum wbt,

Hari ini Bab 2 novel Lagu Cinta Osaka sudah pun diterbitkan di www.penulisan2u.my. Linknya di bawah ini :

http://www.penulisan2u.my/2012/03/novel-lagu-cinta-osaka-2/

Bab kedua ini mengisahkan tentang pergolakan hati Hiro yang semakin menyedari yang dia sukakan Azusa. 
Jemput baca dan tinggalkan komen ya.

Terima kasih.

Isnin, 27 Februari 2012

Lagu Cinta Osaka : Bab 1

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Di sini saya ingin memperkenalkan sebuah e-novel saya yang bertajuk Lagu Cinta Osaka. Bab 1 sudah pun tersiar di laman penulisan2u.my. Ianya adalah terbitan semula kisah Odisi Cinta yang telah saya perbaiki dan kompilasikan.

Kepada meraka yang ingin mengikuti kisah Hiro dan Azusa ini, boleh lah berkunjung ke laman Penulisan2u.my di link di bawah ini.

http://www.penulisan2u.my/2012/02/novel-lagu-cinta-osaka-1/


Terima kasih dan semoga terhibur :) 

Nash Azly

Ahad, 26 Februari 2012

Hari Ulangtahun Kelahiran.



Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Pada hari ini saya menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-33. Dah tua dah ni.

Di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Ulang tahun kelahiran kepada cikgu saya iaitu Pn. Maria Kajiwa. Ya, kami berkongsi birthday.

Bagaimana saya menghabiskan waktu menyambut ulang tahun kelahiran pada hari ini? Oleh kerana hari ini hadi Ahad, maka secara automatiknya minat saya hanyalah untuk beristirahat di rumah. Namun begitu nampaknya saya tak boleh berehat, kerana petang tadi saya perlu keluar juga untuk membantu rakan yang memerlukan pertolongan.

Balik sudah pun lewat petang. Maka malam ini saya berehat saja. Mungkin menonton sebuah filem. Atau tidur saja :)

Moga pada umur saya yang ini saya dapat mencapai beberapa matlamat yang telah disasarkan. InsyaAllah.

Ok, jumpa lagi.

Nash Azly




Khamis, 23 Februari 2012

Alhamdullillah!



Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera saya ucapkan kepada semua pembaca (belum ada sesiapa lagi hehe). Syukur ke hadrat ilahi kerana dengan izin-Nya maka blog ini telah dapat saya rasmikan.

Adapun tujuan blog ini dibuka adalah untuk menyampaikan info tentang aktiviti-aktiviti penulisan saya. Ianya lebih kepada ruang menulis tentang diri dan aktiviti saya selain daripada laman facebook saya. Maklumlah, nak tulis panjang-panjang kat fb macam pelik pula.

Ok, buat permulaan, pada hari ini saya telah mendapat satu lagi pengesahan daripada pihak penerbitan Fajar Pakeer tentang penerbitan novel saya dengan mereka. Novel ini novel sulung saya, maka memang tahap keterujaan boleh tahan tinggi juga sekarang ni :p

Baiklah jika ada info lagi akan saya kongsikan di sini kelak. Jumpa lagi!

Wassalam.

Nash Azly