Memaparkan catatan dengan label berita. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label berita. Papar semua catatan

Ahad, 30 Disember 2012

Antologi Cerpen : Main Gila

Salam semua,

Dah lama saya tak updet blog ni.
Bukan blog ni saja, malah blog2 lain juga.

Ok, kali ini saya nak umumkan terbitnya antologi cerpen terbaru oleh penerbit buku alternatif yang tidak asing lagi iaitu Lejen Press. Tajuknya ialah "MAIN GILA". Genre antologi cerpen kali ini adalah psiko-thriller pembunuh upahan. Antologi cerpen ini dicorakkan oleh 16 cerpen daripada 17 orang penulis dengan karya-karya yang penuh darah dan kekejaman. Bunyi macam gempak je ya. Nak tau gempak ke tak, silalah baca ya.

Antologi Cerpen MAIN GILA
 
Sebuah cerpen saya turut termuat di dalam antologi cerpen ini. Tajuknya "BELASAH". Ini adalah kali pertama saya menulis di dalam genre berat sebegini, dan terus terang memang agak susah untuk menggarap kisah2 sebegini. Tapi saya berpuas hati dengan hasil tulisan saya kali ini, dan saya harap para pembaca juga dapat kepuasan apabila membacanya.

Cover BELASAH
 
Selain saya, penulis-penulis lain yang turut sama memuatkan karya mereka merupakan gabungan barisan penulis2 terkenal Lejen dan juga beberapa orang penulis jemputan. Berikut adalah lineup cerpen di dalam MAIN GILA.


1. OKU Berkemeja Merah Jambu - Aisa Linglung
2. Suicidium - Luc Abdullah
3. De'Lejen - Sahidzan Salleh
4. 7.65mm - Ophan Bunjos
5. Lelaki Gagah, Kepulan Asap dan Dendam Yang Tidak Akan Pernah Terbalaskan - Amal Hamsan
6.Ezra Hugs - Zoul Yazix
7. Innocent - Nurarnida Sabrina
8. Penebusan - Khrlhsym
9. Belasah - Nash Azly
10. Pembunuh Si Kapitalis - Nami Cobb Nobbler
11. Tugasan Terakhir - Shahir Yusoff
12. Sesudah Suboh - Wan Shafiq
13. El-Dorado - Izwan Hafifi & Syahidah Huzaifah
14. Catatan - Syahid Abdullah
15. Dhabit - Hasrul Rizwan
16. Suu-Chi - Fiq Vertigo

Buku ini baru dilancarkan pada 13 Disember yang lepas di Annexe CM dan telah mendapat sambutan yang memberangsangkan sejak bermula jualannya. Bagi yang berminat, bolehlah dapatkan buku ini di kedai I AM LEJEN di SS15 Subang Jaya atau di mana-mana kedai dan booth yang menjual buku Lejen. Juga dijual secara online di Lejen Shop.

Kalau nak dapatkan daripada saya pun boleh.

Oh ya, sebagai peringatan, buku ini saya klasifikasikan sebagai ganas dan mengandungi unsur-unsur ekstrem yang mungkin kurang sesuai untuk pembaca di bawah umur.

Cover belakang

Diharap semua mendapatkan buku terbaru terbitan Lejen Press ini! Terima kasih!


Nash Azly
30 Disember 2012
 

Selasa, 2 Oktober 2012

Antologi Cerpen : KETAKUTAN

Salam semua,

Sedikit update daripada saya setelah sekian lama membisu ececehh..

Baru-baru ini telah terbit satu antologi cerpen bertajuk KETAKUTAN. Buku ini memuatkan 15 buah cerpen daripada 15 orang penulis dengan satu tema iaitu seram.

KETAKUTAN

Saya turut menyumbang sebuah cerpen seram bertajuk "Jipez Keripez". Cerpen saya mengisahkan tentang pengalaman seram seorang pria sewaktu bekerja shift malam di ibukota.

Selain saya, terdapat juga penulis-penulis lain yang tidak asing lagi di dalam dunia penulisan alternatif turut sama berkolaborasi untuk menghasilkan antologi cerpen terulung ini. Di antaranya adalah Aisa Linglung (Sperma Cinta, Sengih Kerang), Amal Hamsan (Heroin) dan juga Izwan Hafifi (KasaRnova).

Berikut adalah senarai penuh penulis dan karya mereka di dalam KETAKUTAN :

1. PESAN LISA - Aisa Linglung
2. ROSE & LAILA - Izwan Hafifi
3. TILAM - Hasrul Rizwan
4. PARANORMAL - Amal Hamsan
5. REBORN ALYA - Wan Shafiq
6. CORO - Gaban Morka
7. TEDDY BEAR KUNING - Amirul Bozu
8. SKETSA MAYA RUMAH KEDAI NYONYA JUN - Ophan Bunjos
9. FREEDOM - The Bent Pencil
10. JIPEZ KERIPEZ - Nash Azly
11. CUAK - Shafiq Helmi
12. KORBAN JUDAS - Fikri Misti
13. PISANG - Razman
14. SERIAU DIBALIK PULAU - Syahid Abdullah
15. DESTINASI TERAKHIR - Khrlhsym

Buku ini telah diterbitkan oleh Lejen Press dan mula dijual sejak awal September yang lepas. Setakat dilancarkan sehingga kini, sambutan yang diberikan begitu menggalakkan. Jika anda meminati genre sebegini, anda boleh dapatkan KETAKUTAN dengan :

a. membeli secara online di shop.lejenpress.com.
b. membeli di booth LejenFixi di jelajah LejenFixi yang berdekatan.
c. membeli di Kinokuniya atau kedai2 buku terpilih yang menjualnya.
D. membeli daripada saya (boleh dapat sain kalau nak :p )

Jika berminat boleh hubungi saya di FB saya okey.

Terima kasih dan wassalam.

Nash Azly

Sabtu, 21 Julai 2012

Salam Ramadhan!



Assalamualaikum wbt,

Sempena bulan mulia ini, saya ingin menguucapkan selamat menyambut Ramadhan dan selamat berpuasa kepada semua yang beragama Islam.Semoga Ramadhan kali ini membawa keberkatan yang lebih kepada kita semua.

Secara peribadi, saya sendiri ingin memperbaiki ibadah saya di bulan puasa ini. Sedar diri yang jauh daripada sempurna, insyaAllah saya harap dapatlah saya memperbaiki diri saya luar dan dalam sepanjang Ramadhan ini dan seterusnya selepas ini juga.

Tentang penulisan, sudah seminggu juga saya tidak menulis apa-apa dek sebab ujian Tuhan terhadap diri saya. Alhamdullillah, insyaAllah selepas ini saya akan meneruskan kembali jadual penulisan saya.

Selalu orang kata bulan puasa adalah bulan untuk kurangkan aktiviti dan banyakkan ibadah. Ya betul kalau aktiviti2 yang dibuat tu tak berfaedah. Kalau yang berfaedah maka kita patut ambil peluang bulan Ramadhan ini untuk memperbanyakkannya lagi kan. Yang tak berfaedah tu patutnya tak payah buat langsunglah tak kiralah Ramadhan atau tidak.

Oleh itu sama-sama kita meriahkan bulan ini dengan pelbagai aktiviti-aktiviti bermanfaat, semoga Ramadhan kali ini menjadi bulan yang produktif kepada kita semua. Peringatan ini saya tujukan pada diri sayalah dahulu.

Okey, jumpa lagi di lain kali.
Jangan lupa niat bersahur :)

Wassalam..

Nash Azly


Khamis, 28 Jun 2012

Sehari di Seminar Antarabangsa 30 Tahun Dasar Pandang ke Timur


As-salam dan selamat sejahtera,

Pada hujung minggu yang lepas, saya sebagai seorang bekas pelajar di bawah Dasar Pandang ke Timur telah menghadiri Seminar Antarabangsa sempena 30 tahun Look East Policy (LEP). Seorang rakan saya yang juga seorang penulis telah mencadangkan agar kami menggembleng tenaga untuk membuka booth pada hari tersebut. Nak kata booth pun bukanlah booth sangat, lebih kepada meja saja. Saya setuju saja.

Pada hari seminar tersebut maka saya dan dua lagi rakan penulis iaitu Masdalifadzlie Saaid dan juga Ilham Hamdani telah menyusun buku-buku kami di atas sebuah meja putih yang disediakan, tanpa sebarang hiasan-hiasan lain! Memang dasar penulis, dan bukan peniaga.. maka kami memang tak reti nak hias-hias atau bubuh apa-apa pun bentuk marketing tools.

Saya meletakkan ketiga-tiga judul karya saya yang ada iaitu Antologi Cerpen Tentang Cinta, Donchan dan juga KolaGen.

Kebetulan pula lagi dua rakan penulis itu pun punyai tiga judul juga masing-masing. Masdalifadzlie meletakkan susunan novel fantasinya Pendeta Gua Khayalan, Duyung Pulau Kenchana dan novel humor 10 Juta Pulu$. Ilham Hamdani pula membariskan kumpulan cerpen Mekar Sakura di Mimbar Cinta, dan dua novel genre cinta islami iaitu Hidayah Cinta dan Bara Cinta Canberra.


 Dari kiri Ezam, Nash Azly, Najib, Masdalifadzlie dan Dr Hasnul (foto dari fb Ezam.)


Sambutan yang diterima sangat menggalakkan daripada pengunjung seminar. Rata-rata pengunjung seminar pada hari tersebut adalah bekas ahli pelajar di bawah LEP, ahli-ahli akademik daripada Malaysia, Jepun dan Korea, dan juga daripada sektor korporat dan badan bukan kerajaan daripada Malaysia, Jepun dan Korea.

Agenda tumpuan ramai pastilah ucapan daripada pengasas dan penaung Dasar Pandang ke Timur itu sendiri iaitu Tun Mahathir Mohamad. Ucap beliau, LEP masih relevan dan masih banyak yang perlu dipelajari daripada Timur dari sudut-sudut selain kemajuan ekonomi dan perindustrian.

Maka di situlah di mana kami bertiga ini adalah relevan, di mana walaupun di bawah naungan LEP, namun pada waktu yang sama kami menceburi bidang penulisan, sesuatu yang berbeza sama sekali dengan bidang perindustrian dan teknikal yang selama ini sinonim dengan LEP.

Ada pengunjung yang bertanya, "Kenapa meja ini letak benda yang tak ada kena mengena dengan LEP?"

Saya cuma menjawab, "Ini adalah produk yang dihasilkan oleh produk LEP itu sendiri." Pengunjung berbangsa Jepun itu mengangguk-angguk sahaja dan berlalu pergi.

Saya faham kehadiran kami di seminar itu bagaikan melawan arus LEP, namun pada kami, inilah LEP untuk masa hadapan. Kita sudah lihat dan belajar, maka kita perlu aplikasikan apa yang kita telah pelajari dengan apa saja yang kita lakukan sekarang ini, dengan cara kita sendiri.

OKlah cukuplah kata-kata yang bersemangat tapi kurang difahami ramai itu.

Berbalik kepada penjualan buku kami, sambutan daripada rakan taulan memang membuat saya terharu. Naskhah Tentang Cinta 4 buah yang saya ada semuanya telah habis terjual. Donchan dan KolaGen juga masing-masing terjual lebih kurang 10 buah. Terima kasih semua.

 Budi baik rakan-rakan yang sudi beli walaupun saya tahu ada yang tak minat membaca pun, namun saya tetap hargai sokongan kalian. Harapan saya buku saya akan buat kalian menjadi berminat untuk membaca. Juga penghargaan kepada rakan-rakan yang setia memberi sokongan moral sepanjang seminar berlangsung. Hanya Tuhan dapat membalas budi kalian semua.

Sesi autograf (foto dari fb Ezam.)

InsyaAllah jika ada peluang lagi, saya ingin lagi meluangkan masa untuk membuka booth sebegini lagi. Di dalam kesibukan menulis, kadang-kadang untuk tukar angin, aktiviti sebegini memang menyegarkan saya dari segi semangat untuk berkarya (walaupun penat fizikal lepas sehari macam ni). Oleh itu, untuk rakan-rakan penulis di luar sana, jangan lupa ajak saya kalau nak buka booth ya :)

Oklah itu saja untuk hari ini. Jumpa lagi.

Wassalam

Nash Azly


 

Ahad, 10 Jun 2012

Donchan di MPH!

Assalamualaikum wbt,

Sudah sekian lama saya tidak mengudpate blog ini mahupun aktiviti penulisan saya. Maaflah ya, selepas Pesta Buku Antarabangsa KL tempoh hari, saya berehat seketika dan selepas itu saya ke Jepun untuk satu program (saya akan tulis tentang ini di dalam entri seterusnya).

Sekembalinya saya ke tanah air, saya mabuk Jepun buat beberapa minggu, sehingga menyebabkan saya tak berapa menulis. Saya panggil tempoh ini sebagai tempoh extended jetlag ataupun jetlag berlanjutan. Alhamdullillah kini saya sudah hampir pulih dan sudah mula kembali fokus kepada penulisan :).

Baiklah pada minggu ini saya cuma ingin beritahu yang novel saya Donchan telah pun memasuki MPH. Saya sendiri belum berkesempatan untuk pergi ke MPH berdekatan, namun ini telah diberitahu oleh mentor saya Pn. Maria Kajiwa. Sempat juga beliau beli senaskhah. Terima kasih kak!

Gembiranya saya bila mengetahui yang akhirnya Donchan telah masuk ke kedai. Bayangkanlah, buku tulisan anda telah mula dijual di kedai-kedai! Boleh dicapai, diambil, dibelek dan dibeli serta yang paling penting, dibaca, oleh orang2 yang anda sendiri tidak kenal! Apakah perasaan anda? Apakah perasaan saya?


Ihsan daripada FB Pn Maria Kajiwa

Perasaan saya bercampur baur sebenarnya. Gembira pun ada, berdebar pun ada, tak berperasaan sangat pun ada. Gembira kerana saya telah berjaya membuat langkahan pertama di dalam mencapai matlamat hidup saya. Berdebar kerana tidak tahu respons daripada para pembaca novel saya itu. Buat masa ini hanya Pn. Maria saja yang telah memberi respons yang memberangsangkan terhadap Donchan. Saya berterima kasih banyak-banyak kepada beliau, ianya sedikit sebanyak telah melegakan debar di hati saya (masih berdebar juga sebenarnya).

Tak berperasaan pula adalah kerana sebagai seorang yang tak boleh multitask dan fikir banyak benda di dalam satu masa, saya tak mahu membuang masa merisaukan diri dengan memikirkan respon pembaca, samada penulisan saya baik ke tak, apa kesalahan2 atau komen2 yang bakal datang dan lain2 perkara lagi.  Kalau saya mula fikirkan perkara2 tersebut, memang susah la saya nak menulis. Oleh itu saya perlu juga mengambil sikap dingin hanya untuk memberi ruang kepada diri saya untuk terus berkarya.

 InsyaAllah, saya tetap akan mengambilkira semua faktor2 yang tersebut, cuma bukanlah setiap masa dan ketika. Diharapkan agar semua faham. Kalau nampak macam saya ni macam sombong je tu, mungkin saya cuma tak perasan sebenarnya. Maaf saya ucapkan awal2 ni ya.

Baiklah itu saja yang ingin saya update (bebel)kan untuk hari ini. Semoga kita bertemu lagi. Saya akan menulis tentang lawatan program sukarelawan saya ke Jepun pada 14 - 21 May yang lepas.

Sebelum terlupa, jangan lupa dapatkan novel kanak-kanak saya Donchan di MPH dengan harga RM12 sahaja. InsyaAllah saya yakin yang anda akan berpuas hati dengan cerita yang saya persembahkan. Okey jumpa lagi!

Wassalam.

Nash Azly

Isnin, 30 April 2012

PABKL 2012

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,



Ok untuk latest update tentang PABKL saya dah update kat blog belajar bahasa sebab sana lagi ramai follower. Hehe bukan saya lebih pentingkan sana, tapi sebab ini tentang penjualan buku di pesta buku, so kenalah inform pada seramai yang mungkin, bukan? Nanti lepas PABKL saya updatelah cerita-cerita di sini pulak okey!

Baiklah ini link kepada update tersebut, KLIK SINI terima kasih.

Ok, kepada yang ingin bertemu dengan saya, jumpa di PABKL Sabtu ni 4 - 5 petang, booth Lejen/Fixi okey!
Thanks semua!

Nash Azly

Sabtu, 21 April 2012

Antologi Cerpen : KolaGen

Assalamualaikum wbt,

Alhamdullillah syukur saya ucapkan ke hadrat ilahi, kerana dengan ini antologi cerpen KolaGen telah disahkan bakal terbit hujung bulan ini dan telah pun dibuka untuk pre-order atau tempahan awal.

KolaGen
Antologi cerpen ini adalah hasil kolaborasi di antara saya dan ayah saya iaitu Sahlan Mohd Saman. Berkonsepkan 'cerkon' atau cerita kontot (cerpen yang betul-betul pendek), masing-masing saya telah menyumbangkan 9 buah cerpen dan ayah pula menyumbang 11 buah cerpen pelbagai tema daripada seram, misteri, persahabatan, politik dan lain-lain lagi.

Dengan nama KolaGen (Kolaborasi [Dua] Generasi), antologi ini bermaksud menampilkan hasil karya daripada dua generasi, untuk sama-sama dinikmati intipati daripada isinya. Walaupun tujuannya bukanlah untuk diperbandingkan, namun pastinya perbandingan tidak dapat dielakkan. Pun begitu, kami tetap tampilkan juga, agar sama-sama kita menerima perbezaan generasi yang ujud serta meraikannya bersama-sama.

Diharapkan agar kehadiran antologi cerpen KolaGen ini selain dapat menghibur, diharap dapat juga memberikan suntikan 'semangat baru' terhadap kelangsungan dunia penulisan dan penerbitan itu sendiri, yang dewasa ini bagaikan tercari-cari identiti di dalam kemajuan media moden seperti komputer dan internet.

Dunia sentiasa berubah, maka kita pun harus mengadaptasi diri. Bukan untuk wang, glamer mahupun kuasa, namun hanya kerana itu adalah survival jati dan identiti diri kita. Jika kita yang tidak meraikannya, maka tiada siapa yang akan peduli akan kewujudan kita di muka bumi ini.

KolaGen boleh didapati secara online ataupun belian langsung melalui agen-agen Lejenpress atau pun di booth-booth Lejenpress di mana-mana bermula hujung bulan ini di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012. Tempahan awal untuk penghantaran boleh dibuat di link di bawah ini :

http://shop.lejenpress.com/shop/kolagen/
 
Terima kasih dan wassalam.


Nash Azly


Rabu, 14 Mac 2012

Berita tentang Antologi Cerpen



Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Semalam saya dimaklumkan oleh pihak penerbitan yang mana saya telah menghantar manuskrip antologi cerpen saya bahawa mereka telah mempertimbangkan dan menerima manuskrip saya untuk diterbitkan.

Alhamdullilah syukur saya ucapkan. Butiran lanjut masih belum diketahui lagi, namun saya akan maklumkan lagi dari semasa ke semasa.

Buat masa ini saya masih menunggu keputusan rasmi daripada pihak penerbitan tersebut beserta pemulangan manuskrip untuk diperbaiki apa yang patut.

Okey sampai jumpa lagi!

Wassalam.


Nash Azly 

Khamis, 23 Februari 2012

Alhamdullillah!



Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera saya ucapkan kepada semua pembaca (belum ada sesiapa lagi hehe). Syukur ke hadrat ilahi kerana dengan izin-Nya maka blog ini telah dapat saya rasmikan.

Adapun tujuan blog ini dibuka adalah untuk menyampaikan info tentang aktiviti-aktiviti penulisan saya. Ianya lebih kepada ruang menulis tentang diri dan aktiviti saya selain daripada laman facebook saya. Maklumlah, nak tulis panjang-panjang kat fb macam pelik pula.

Ok, buat permulaan, pada hari ini saya telah mendapat satu lagi pengesahan daripada pihak penerbitan Fajar Pakeer tentang penerbitan novel saya dengan mereka. Novel ini novel sulung saya, maka memang tahap keterujaan boleh tahan tinggi juga sekarang ni :p

Baiklah jika ada info lagi akan saya kongsikan di sini kelak. Jumpa lagi!

Wassalam.

Nash Azly