Selasa, 1 Januari 2013

Selamat Tahun Baru 2013!!

Salam semua,

Tahun 2012 sudah tiba ke penghujungnya. Alhamdullillah, tahun 2012 telah menyaksikan terbitnya empat naskhah yang mengandungi karya saya. Bermula dengan antologi cerpen KOLAGEN dan novel kanak-kanak DONCHAN yang diterbitkan sempena PABKL pada bulan Mei yang lalu, telah menyusul pula antologi cerpen KETAKUTAN yang terbit pada Sept yang lalu dan yang terbaru, antologi cerpen MAIN GILA yang baru dilancarkan pada awal Disember 2012.

Di dalam empat karya ini, DONCHAN adalah karya saya sepenuhnya di dalam bentuk novel. Walaupun hanya sebuah novel kanak2, namun DONCHAN merupakan pengalaman pertama saya menghasilkan novel penuh dan penat lelah pahit dan manis di dalam penghasilannya membuatkan DONCHAN begitu istimewa buat saya.

DONCHAN

Kembar tak seiras yang lahir pada waktu yang sama dengan DONCHAN adalah KOLAGEN. Yang ini memang tak seiras dari segala segi. Buku ini adalah antologi cerpen gabungan saya dan ayah saya, dan genrenya pula adalah dewasa. KOLAGEN merupakan buku pertama saya dengan Lejen Press.

KOLAGEN

Selepas KOLAGEN, saya teruskan berkarya dengan Lejen Press dan menyumbang sebuah cerpen untuk setiap satu antologi cerpen KETAKUTAN dan MAIN GILA. Untuk yang suka baca cerpen yang lain daripada yang lain, kedua2 buku ini sesuai untuk anda. KETAKUTAN sudah masuk cetakan kedua manakala MAIN GILA pula mendapat komen yang positif daripada kalangan penggemar buku alternatif.

KETAKUTAN

MAIN GILA

Kini sudah masuk tahun baru 2013, insyaAllah saya akan terus giat menulis dan berkarya. Alhamdullillah untuk tahun ini sudah ada projek usahasama di dalam perancangan. Selain itu saya sangat ingin melepasi 'hurdle' yang lebih tinggi tahun ini iaitu untuk menghasilkan sebuah novel dewasa penuh. Moga-moga semuanya berjalan lancar dan saya diberi kekuatan fizikal dan mental untuk mengharungi cabaran ini.

Terima kasih di atas segala sokongan yang diberikan baik daripada para pembaca mahupun daripada rakan-rakan penulis serta penerbit. Semoga saya dapat memberikan yang lebih baik lagi di dalam karya-karya saya selepas ini.

Selamat menyambut tahun baru 2013!


NASH AZLY
1 Januari 2013

Ahad, 30 Disember 2012

Antologi Cerpen : Main Gila

Salam semua,

Dah lama saya tak updet blog ni.
Bukan blog ni saja, malah blog2 lain juga.

Ok, kali ini saya nak umumkan terbitnya antologi cerpen terbaru oleh penerbit buku alternatif yang tidak asing lagi iaitu Lejen Press. Tajuknya ialah "MAIN GILA". Genre antologi cerpen kali ini adalah psiko-thriller pembunuh upahan. Antologi cerpen ini dicorakkan oleh 16 cerpen daripada 17 orang penulis dengan karya-karya yang penuh darah dan kekejaman. Bunyi macam gempak je ya. Nak tau gempak ke tak, silalah baca ya.

Antologi Cerpen MAIN GILA
 
Sebuah cerpen saya turut termuat di dalam antologi cerpen ini. Tajuknya "BELASAH". Ini adalah kali pertama saya menulis di dalam genre berat sebegini, dan terus terang memang agak susah untuk menggarap kisah2 sebegini. Tapi saya berpuas hati dengan hasil tulisan saya kali ini, dan saya harap para pembaca juga dapat kepuasan apabila membacanya.

Cover BELASAH
 
Selain saya, penulis-penulis lain yang turut sama memuatkan karya mereka merupakan gabungan barisan penulis2 terkenal Lejen dan juga beberapa orang penulis jemputan. Berikut adalah lineup cerpen di dalam MAIN GILA.


1. OKU Berkemeja Merah Jambu - Aisa Linglung
2. Suicidium - Luc Abdullah
3. De'Lejen - Sahidzan Salleh
4. 7.65mm - Ophan Bunjos
5. Lelaki Gagah, Kepulan Asap dan Dendam Yang Tidak Akan Pernah Terbalaskan - Amal Hamsan
6.Ezra Hugs - Zoul Yazix
7. Innocent - Nurarnida Sabrina
8. Penebusan - Khrlhsym
9. Belasah - Nash Azly
10. Pembunuh Si Kapitalis - Nami Cobb Nobbler
11. Tugasan Terakhir - Shahir Yusoff
12. Sesudah Suboh - Wan Shafiq
13. El-Dorado - Izwan Hafifi & Syahidah Huzaifah
14. Catatan - Syahid Abdullah
15. Dhabit - Hasrul Rizwan
16. Suu-Chi - Fiq Vertigo

Buku ini baru dilancarkan pada 13 Disember yang lepas di Annexe CM dan telah mendapat sambutan yang memberangsangkan sejak bermula jualannya. Bagi yang berminat, bolehlah dapatkan buku ini di kedai I AM LEJEN di SS15 Subang Jaya atau di mana-mana kedai dan booth yang menjual buku Lejen. Juga dijual secara online di Lejen Shop.

Kalau nak dapatkan daripada saya pun boleh.

Oh ya, sebagai peringatan, buku ini saya klasifikasikan sebagai ganas dan mengandungi unsur-unsur ekstrem yang mungkin kurang sesuai untuk pembaca di bawah umur.

Cover belakang

Diharap semua mendapatkan buku terbaru terbitan Lejen Press ini! Terima kasih!


Nash Azly
30 Disember 2012
 

Selasa, 2 Oktober 2012

Antologi Cerpen : KETAKUTAN

Salam semua,

Sedikit update daripada saya setelah sekian lama membisu ececehh..

Baru-baru ini telah terbit satu antologi cerpen bertajuk KETAKUTAN. Buku ini memuatkan 15 buah cerpen daripada 15 orang penulis dengan satu tema iaitu seram.

KETAKUTAN

Saya turut menyumbang sebuah cerpen seram bertajuk "Jipez Keripez". Cerpen saya mengisahkan tentang pengalaman seram seorang pria sewaktu bekerja shift malam di ibukota.

Selain saya, terdapat juga penulis-penulis lain yang tidak asing lagi di dalam dunia penulisan alternatif turut sama berkolaborasi untuk menghasilkan antologi cerpen terulung ini. Di antaranya adalah Aisa Linglung (Sperma Cinta, Sengih Kerang), Amal Hamsan (Heroin) dan juga Izwan Hafifi (KasaRnova).

Berikut adalah senarai penuh penulis dan karya mereka di dalam KETAKUTAN :

1. PESAN LISA - Aisa Linglung
2. ROSE & LAILA - Izwan Hafifi
3. TILAM - Hasrul Rizwan
4. PARANORMAL - Amal Hamsan
5. REBORN ALYA - Wan Shafiq
6. CORO - Gaban Morka
7. TEDDY BEAR KUNING - Amirul Bozu
8. SKETSA MAYA RUMAH KEDAI NYONYA JUN - Ophan Bunjos
9. FREEDOM - The Bent Pencil
10. JIPEZ KERIPEZ - Nash Azly
11. CUAK - Shafiq Helmi
12. KORBAN JUDAS - Fikri Misti
13. PISANG - Razman
14. SERIAU DIBALIK PULAU - Syahid Abdullah
15. DESTINASI TERAKHIR - Khrlhsym

Buku ini telah diterbitkan oleh Lejen Press dan mula dijual sejak awal September yang lepas. Setakat dilancarkan sehingga kini, sambutan yang diberikan begitu menggalakkan. Jika anda meminati genre sebegini, anda boleh dapatkan KETAKUTAN dengan :

a. membeli secara online di shop.lejenpress.com.
b. membeli di booth LejenFixi di jelajah LejenFixi yang berdekatan.
c. membeli di Kinokuniya atau kedai2 buku terpilih yang menjualnya.
D. membeli daripada saya (boleh dapat sain kalau nak :p )

Jika berminat boleh hubungi saya di FB saya okey.

Terima kasih dan wassalam.

Nash Azly

Jumaat, 3 Ogos 2012

Reviu Novel : Invasi


 INVASI oleh Raja Faisal


     Invasi adalah buku pertama terbitan Buku Fixi yang saya baca. Mengapa Invasi? Terus terang saya katakan yang imej buku2 terbitan Buku Fixi pada saya waktu itu adalah agak 'panas', makanya saya memilih yang saya rasa paling tidak panas, takut terkejut budaya pula nanti. Lagipun masakan ada adegan panas di dalam kisah penaklukan makhluk asing? Waktu itu saya tak tahu nak pilih Invasi atau Zombijaya. Akhirnya saya pilih Invasi sebab saya peminat sci-fi.

Kita ke ceritanya pula. Invasi mengisahkan tentang Ahmad Bayani dan rakannya Anwar yang terperangkap di dalam peristiwa penaklukan Kuala Lumpur oleh makhluk asing dari angkasa. Sewaktu melarikan diri, mereka bertemu dengan Ika dan kumpulan mereka kemudian bergabung dengan kumpulan Ajak, Achet dan Jo demi survival mereka.

Separuh yang pertama lebih banyak mengisahkan apa yang berlaku dan bagaimana mereka melarikan diri mencari tempat selamat daripada buruan makhluk-makhluk penceroboh. Banyak juga adegan gore penuh darah berkecai dan bersepai sewaktu pertempuran mereka dengan makhluk asing itu sehingga membuatkan saya teringatkan cerita Battle Los Angeles, cuma bezanya di dalam Invasi yang bertempur itu hanyalah orang biasa dan bukannya askar.

Apabila sampai ke lebih kurang bermulanya separuh yang kedua, kisahnya berubah rentak kepada bagaimana mereka akan menewaskan makhluk2 asing tersebut pula seterusnya menamatkan penjajahan alien di muka bumi ini. Bunyinya memang macam bagus tapi cara penceritaannya tak membuatkan ianya nampak macam cerita Save-the-World poyo stereotaip yang selalu kita lihat dalam filem-filem Amerika. Dan bermula dari sini saya mula tidak dapat melepaskan buku ini sehingga ke penamat.

Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan gaya persembahan Raja Faisal dengan gaya dialog super  selamba yang pada mulanya sedikit kekok untuk saya cerna namun lama kelamaan lancar saja penghadaman saya. Mungkin kerana gaya bahasa naratif yang diolah dengan baik berjaya membantu mengimbangkannya kembali.

Namun begitu seperti yang dijangka, masih terdapat unsur-unsur seksual di dalam Invasi. Letaknya pula di awal-awal cerita yang saya pasti membuat ramai pembaca yang belum apa-apa dah terkejut. Hasilnya, mungkin ada yang jelek dan terus berhenti membaca, tapi mungkin ada pula yang menjadi lebih bersemangat untuk terus membaca.

Pada saya, jikalau tujuannya iaitu untuk menunjukkan sifat Bayani yang playboy, maka memang sesuailah. Tapi itu pendapat saya sebagai seorang pembaca yang dah dewasa. Tidak dapat tidak hati saya tetap ingin menyatakan yang unsur-unsur sebegini kurang sesuai bagi bacaan golongan remaja atau belasan tahun.

Penamat novel ini pada saya terlalu pendek dan seperti tergesa-gesa. Adrenalin di dalam tubuh saya masih mengalir deras ketika penulis menutup tirai persembahannya menyebabkan saya tak boleh tidur lepas habis baca. Wrap-up novel saya kira masih boleh diperbaiki lagi. Mungkin dengan menyatakan secara ringkas apa yang terjadi pada watak-watak lain juga seperti Ajak, Achet dan Jo, dan menceritakan sedikit keadaan dunia selepas itu.

Akhir kata, saya berikan Invasi 3.5 daripada 5 bintang. Tahniah kepada Raja Faisal, semoga beliau giat berkarya lagi selepas ini. Saya yang pasti akan look forward untuk kisah-kisah sci-fi ringan sebegini di masa-masa yang akan datang.


Nash Azly
3 Ogos 2012

Sabtu, 21 Julai 2012

Salam Ramadhan!



Assalamualaikum wbt,

Sempena bulan mulia ini, saya ingin menguucapkan selamat menyambut Ramadhan dan selamat berpuasa kepada semua yang beragama Islam.Semoga Ramadhan kali ini membawa keberkatan yang lebih kepada kita semua.

Secara peribadi, saya sendiri ingin memperbaiki ibadah saya di bulan puasa ini. Sedar diri yang jauh daripada sempurna, insyaAllah saya harap dapatlah saya memperbaiki diri saya luar dan dalam sepanjang Ramadhan ini dan seterusnya selepas ini juga.

Tentang penulisan, sudah seminggu juga saya tidak menulis apa-apa dek sebab ujian Tuhan terhadap diri saya. Alhamdullillah, insyaAllah selepas ini saya akan meneruskan kembali jadual penulisan saya.

Selalu orang kata bulan puasa adalah bulan untuk kurangkan aktiviti dan banyakkan ibadah. Ya betul kalau aktiviti2 yang dibuat tu tak berfaedah. Kalau yang berfaedah maka kita patut ambil peluang bulan Ramadhan ini untuk memperbanyakkannya lagi kan. Yang tak berfaedah tu patutnya tak payah buat langsunglah tak kiralah Ramadhan atau tidak.

Oleh itu sama-sama kita meriahkan bulan ini dengan pelbagai aktiviti-aktiviti bermanfaat, semoga Ramadhan kali ini menjadi bulan yang produktif kepada kita semua. Peringatan ini saya tujukan pada diri sayalah dahulu.

Okey, jumpa lagi di lain kali.
Jangan lupa niat bersahur :)

Wassalam..

Nash Azly


Jumaat, 29 Jun 2012

Reviu Novel : The Untold Story


 As-salam dan selamat sejahtera kepada semua.

Pada hari ini saya ingin mengulas tentang sebuah novel bertajuk The Untold Story. Walaupun tajuknya di dalam bahasa inggeris, namun sebenarnya novel ini merupakan novel bahasa melayu. Ianya adalah karya Farah Husain, seorang penulis yang juga merupakan rakan saya.



Tajuk : The Untold Story
Penulis : Farah Husain
Terbitan : One Nusantara
Tahun : 2011


Novel The Untold Story (TUS) ini merupakan novel dengan genre fantasi urban, satu genre yang jarang sangat diketengahkan oleh penulis novel bahasa melayu di Malaysia ini. Syabas saya ucapkan kepada Farah Husain kerana berani menulis lari dari norma karya yang berada di pasaran. Tahniah juga kepada One Nusantara kerana berani menerbitkan karya sebegini.

Ok cukup dengan puji-pujian. Mari lihat apakah kisah yang dipersembahkan di dalam TUS ini. Kisah di dalam novel ini bermula apabila Teja Aira secara tak sengaja telah menjadi saksi kepada satu kejadian yang melibatkan entiti-entiti paranormal daripada kaum Night Crawler dan Shifter. Ekoran daripada peristiwa tersebut, Aira telah ditangkap oleh Diaz dari kaum Shifter, namun begitu kemudiannya diselamatkan oleh Aidan dan pasukan Nightcrawler 'Dream Team'nya.

Bermula dari sinilah, Aira terus terjebak di dalam satu dunia asing yang selama ini cuba disembunyikan oleh mereka-mereka yang berkaitan daripada pengetahuan manusia biasa. Plot menjadi semakin serius apabila kumpulan Night Crawler mendapat tahu akan kewujudan satu komplot jahat daripada pihak Shifter yang bakal menghancurkan hijab di antara dunia mereka dan dunia manusia. Di dalam pada itulah Aira secara sedar dan tidak telah jatuh hati pada Aidan, namun begitu dia harus memilih di antara Aidan dan Diaz yang telah lebih dahulu mencuri hatinya.

Pada bab awal pembacaan, memang terbayang di dalam kepala saya bahawa ini hanyalah salah satu picisan daripada fenomena vampire/werewolf flick yang pada masa itu sedang membanjiri pasaran (read : Twilight). Namun begitu TUS adalah berbeza. Walaupun di dalam TUS juga wujud kaum-kaum kegelapan seperti Night Crawler dan Shifter dan juga Custos, namun garapan penulis tentang kaum-kaum ini tidak mengingatkan saya kepada kisah-kisah werewolf/vampire lain yang pernah saya baca atau tonton sebelum ini. Oleh itu saya berpendapat yang Farah Husain telah berjaya memisahkan diri daripada elemen-elemen werewolf/vampire dan meletakkan The Untold Story di dalam kelasnya yang tersendiri.

Klimaks kepada kisah ini sangat memuaskan dengan scene-scene pertarungan yang membuatkan saya bulu roma saya meremang. Namun begitu penyudahan yang diberi sedikit mengecewakan saya. Kenapa? Kerana penyudahan sebegini secara tak langsung bermaksud yang TUS akan ada sambungannya kelak! Haih kena tunggu la pulak...

Shifter? Imej hiasan je..

Secara keseluruhannya saya cukup berpuas hati dengan TUS. Penceritaan yang padu, dan suntikan idea-idea segar di dalam konsep sebegini menjadikan TUS sebagai karya pertama yang cukup mantap bagi penulis muda Farah Husain! Sekalung tahniah daripada saya!
 
*The Untold Story boleh didapati secara online di http://bookstation.com.my/


Nash Azly 
28 Jun 2012
10pm

Khamis, 28 Jun 2012

Sehari di Seminar Antarabangsa 30 Tahun Dasar Pandang ke Timur


As-salam dan selamat sejahtera,

Pada hujung minggu yang lepas, saya sebagai seorang bekas pelajar di bawah Dasar Pandang ke Timur telah menghadiri Seminar Antarabangsa sempena 30 tahun Look East Policy (LEP). Seorang rakan saya yang juga seorang penulis telah mencadangkan agar kami menggembleng tenaga untuk membuka booth pada hari tersebut. Nak kata booth pun bukanlah booth sangat, lebih kepada meja saja. Saya setuju saja.

Pada hari seminar tersebut maka saya dan dua lagi rakan penulis iaitu Masdalifadzlie Saaid dan juga Ilham Hamdani telah menyusun buku-buku kami di atas sebuah meja putih yang disediakan, tanpa sebarang hiasan-hiasan lain! Memang dasar penulis, dan bukan peniaga.. maka kami memang tak reti nak hias-hias atau bubuh apa-apa pun bentuk marketing tools.

Saya meletakkan ketiga-tiga judul karya saya yang ada iaitu Antologi Cerpen Tentang Cinta, Donchan dan juga KolaGen.

Kebetulan pula lagi dua rakan penulis itu pun punyai tiga judul juga masing-masing. Masdalifadzlie meletakkan susunan novel fantasinya Pendeta Gua Khayalan, Duyung Pulau Kenchana dan novel humor 10 Juta Pulu$. Ilham Hamdani pula membariskan kumpulan cerpen Mekar Sakura di Mimbar Cinta, dan dua novel genre cinta islami iaitu Hidayah Cinta dan Bara Cinta Canberra.


 Dari kiri Ezam, Nash Azly, Najib, Masdalifadzlie dan Dr Hasnul (foto dari fb Ezam.)


Sambutan yang diterima sangat menggalakkan daripada pengunjung seminar. Rata-rata pengunjung seminar pada hari tersebut adalah bekas ahli pelajar di bawah LEP, ahli-ahli akademik daripada Malaysia, Jepun dan Korea, dan juga daripada sektor korporat dan badan bukan kerajaan daripada Malaysia, Jepun dan Korea.

Agenda tumpuan ramai pastilah ucapan daripada pengasas dan penaung Dasar Pandang ke Timur itu sendiri iaitu Tun Mahathir Mohamad. Ucap beliau, LEP masih relevan dan masih banyak yang perlu dipelajari daripada Timur dari sudut-sudut selain kemajuan ekonomi dan perindustrian.

Maka di situlah di mana kami bertiga ini adalah relevan, di mana walaupun di bawah naungan LEP, namun pada waktu yang sama kami menceburi bidang penulisan, sesuatu yang berbeza sama sekali dengan bidang perindustrian dan teknikal yang selama ini sinonim dengan LEP.

Ada pengunjung yang bertanya, "Kenapa meja ini letak benda yang tak ada kena mengena dengan LEP?"

Saya cuma menjawab, "Ini adalah produk yang dihasilkan oleh produk LEP itu sendiri." Pengunjung berbangsa Jepun itu mengangguk-angguk sahaja dan berlalu pergi.

Saya faham kehadiran kami di seminar itu bagaikan melawan arus LEP, namun pada kami, inilah LEP untuk masa hadapan. Kita sudah lihat dan belajar, maka kita perlu aplikasikan apa yang kita telah pelajari dengan apa saja yang kita lakukan sekarang ini, dengan cara kita sendiri.

OKlah cukuplah kata-kata yang bersemangat tapi kurang difahami ramai itu.

Berbalik kepada penjualan buku kami, sambutan daripada rakan taulan memang membuat saya terharu. Naskhah Tentang Cinta 4 buah yang saya ada semuanya telah habis terjual. Donchan dan KolaGen juga masing-masing terjual lebih kurang 10 buah. Terima kasih semua.

 Budi baik rakan-rakan yang sudi beli walaupun saya tahu ada yang tak minat membaca pun, namun saya tetap hargai sokongan kalian. Harapan saya buku saya akan buat kalian menjadi berminat untuk membaca. Juga penghargaan kepada rakan-rakan yang setia memberi sokongan moral sepanjang seminar berlangsung. Hanya Tuhan dapat membalas budi kalian semua.

Sesi autograf (foto dari fb Ezam.)

InsyaAllah jika ada peluang lagi, saya ingin lagi meluangkan masa untuk membuka booth sebegini lagi. Di dalam kesibukan menulis, kadang-kadang untuk tukar angin, aktiviti sebegini memang menyegarkan saya dari segi semangat untuk berkarya (walaupun penat fizikal lepas sehari macam ni). Oleh itu, untuk rakan-rakan penulis di luar sana, jangan lupa ajak saya kalau nak buka booth ya :)

Oklah itu saja untuk hari ini. Jumpa lagi.

Wassalam

Nash Azly